Hoki

Pelan ‘B’ Buat Skuad Lelaki Kebangsaan

Walaupun Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 18 April 2020 di Ipoh, Perak, terpaksa ditangguhkan ekoran penularan wabak Coronavirus 2019 (COVID-19), namun Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mempunyai perancangan kedua buat Malaysian Tigers.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, Datuk Abd Rahim Md Arif telah mengeluarkan satu kenyataan media mengenai penjadualan semula kejohanan tahunan itu demi kepentingan pemain, pegawai dan semua pihak terlibat bagi mencegah jangkitan yang semakin menular di Korea Selatan dan Jepun.

Presiden KHM, Dato Sri’ Subahan Kamal hari ini mengesahkan penangguhan kejohanan tersebut selain mengesahkan KHM telah mengatur perancangan lain buat skuad negara sebagai persediaan buat mereka bagi menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia pada bulan November nanti.

Beliau turut menegaskan walaupun kejohanan Piala Sultan Azlan Shah ditangguhkan, namun pemain -pemain negara tetap menjalani sesi latihan seperti yang telah diaturkan buat mereka.

“KHM telah menerima surat daripada pengelola Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah dan saya telah dimaklumkan bahawa pihak pengelola kejohanan mengambil keputusan untuk menangguhkan kejohanan ekoran beberapa sebab.

“Salah satunya adalah kerana penularan wabak Covid-19 di mana kini Korea Selatan dan Jepun antara negara yang dijangkiti wabak tersebut selain nasihat yang turut diberikan untuk mengambil kira kesihatan pemain daripada pasukan lain seperti Australia, Kanada dan Jepun yang akan beraksi di Sukan Olimpik 2020.

“Jadi untuk mencegah daripada sebarang kemungkinan penyebaran penyakit dan sebagainya maka kejohanan ditangguhkan dan pihak penganjur mencadangkan untuk perlawanan diadakan pada 24 September hingga 3 Oktober 2020.

“Dari pengamatan KHM tarikh tersebut amat sesuai kerana pada bulan November, Skuad Lelaki Kebangsaan akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia dan jika tarikh tersebut diluluskan maka Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah boleh dijadikan sebagai medan persediaan buat pasukan negara.

“Namun ia masih terlalu awal untuk kami membuat sebarang keputusan kerana kita perlu melihat bagaimanakah keadaan penularan penyakit ini.

“Walaupun kejohanan tertangguh namun sesi latihan berjalan seperti biasa selain kami mempunyai perancangan untuk menjemput beberapa negara ke Malaysia bagi menjalani perlawanan ujian.

“Kami turut menerima permintaan daripada Kanada yang mahu meneruskan perjalanan mereka ke Malaysia dan menjalani beberapa siri perlawanan ujian bersama pasukan kebangsaan sebagai persediaan buat mereka ke Sukan Olimpik.

“Kami akan cuba untuk memenuhi perminataan pasukan Kanada selain itu kami turut mempunyai perancangan untuk menganjurkan satu Perlawanan Tiga Penjuru di Kuantan, Pahang bersama pasukan New Zealand dan Pakistan yang dijangkakan akan berlangsung pada bulan Jun nanti.

“Dalam pada itu, kerisauan saya mengenai penularan wabak ini juga terarah kepada Skuad Remaja Wanita negara yang akan ke Kakamigahara Jepun bagi Kejohanan Piala Remaja Asia Wanita pada bulan April ini yang juga merupakan perlawanan kelayakan untuk Piala Dunia Remaja.

“Kini kami sedang menunggu maklumat daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan Persekutuan Hoki Asia (AHF) sama ada perlawanan tersebut akan ditangguhkan atau tidak,” jelasnya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: