
KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) menyambut baik pengumuman kerajaan menerusi perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam yang telah memberikan kebenaran untuk latihan persediaan sukan berpasukan termasuk hoki dijalankan semula dengan syarat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Kebenaran tersebut turut diperjelaskan lagi secara terperinci pada sidang media harian Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, hari ini dan sidang media khas Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican tadi iaitu aktiviti latihan hoki, turut memperolehi kebenaran untuk dijalankan bermula 15 Jun ini sama ada secara profesional atau sosial.
Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal berkata, KHM amat berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin, Dato’ Sri Ismail Sabri dan Dato’ Sri Reezal Merican serta pihak kerajaan yang telah meluluskan kebenaran bagi aktiviti latihan hoki bermula semula mengikut syarat dan SOP.
“KHM akan mengadakan perbincangan dalaman untuk menentukan langkah seterusnya bagi menggerakkan perancangan memanggil pemain-pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan.
“SOP kembali ke latihan pusat akan dibincangkan dalam masa terdekat ini dan pastinya akan diselaraskan mengikut garis panduan baharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kelancaran operasinya apabila kebenaran diberikan kerajaan bermula 15 Jun.
“Bagi aktiviti hoki secara sosial dan riadah, KHM akan mengeluarkan satu garis panduan cadangan untuk diikuti oleh semua yang terlibat.
“KHM turut berharap agar semua pihak yang terlibat dalam sukan hoki dapat sama-sama mengekalkan disiplin diri masing-masing untuk mengikut segala SOP serta ketetapan yang telah ditetapkan agar kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan inidapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan jugakelangsungan sukan hoki di negara ini,” jelasnya.
Add Comment