Uncategorized

Tirai saingan bermula meriah di Kota Kinabalu

TIRAI PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 disingkap dalam suasana meriah dengan berlangsungnya majlis Pengenalan Pasukan yang menampillkan kesemua 21 pasukan yang bersaing pada edisi ke-25 di sini, malam ini.

Barisan pasukan yang terdiri dari satu pasukan dunia, 5 pasukan pro, 14 pasukan benua dan satu pasukan kebangsaan diperkenalkan pada majlis yang mencatatkan sejarah tersendiri dan berlangsung buat julung kali di Padang Merdeka di sini.

LTdL kembali ke Sabah dan Sarawak selepas tempoh 23 tahun, sekaligus mencatatkan satu lagi kegemlingan buat perlumbaan yang kini tersenarai sebagai ProSeries mulai tahun ini. Acara pembuka saingan bermula dengan perlumbaan Kriterium Antarabangsa sejauh 90km di sekitar bandar Kota Kinabalu sebelum bermulanya saingan sebenar Peringkat 1 di Kuching Jumaat ini.

Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam ucapan menerusi tayangan pada majlis berkenaan, memberikan kata-kata ransangan buat pelumba, pegawai dan keseluruhan rombongan LTdL 2020.

“Biarpun tidak hadir secara fizikal, saya tetap akan mengikuti perkembangan perlumbaan ulung negara ini secara dekat.

“Saya berjanji akan menemui anda semua pada saingan hari terakhir di Langkawi pada 14 Februari ini,” kata Tun Dr Mahathir, yang mengulangi keistimewaan LTdL sebagai acara yang seharusnya menjadi kebanggaan semua.

“Saya menyeru agar semua yang terlibat dalam penganjuran LTdL ini berusaha lebih keras untuk mencatatkan kebangaan dan pencapaian baru. Adalah menjadi harapan saya agar kita dapat menaikkan status perlumbaan sebagai acara penuh berprestij kepada acara yang mempunyai identiti yang kukuh dan dapat terus bertahan untuk tempoh 25 tahun lagi,” kata beliau.

Tun Dr Mahathir melahirkan harapan agar LTdL menjadi setanding Giro d’Italia dan Tour de France yang menyaksikan peminat sukan berbasikal antarabangsa merancang beberapa tahun lebih awal untuk mengalami kemeriahan perlumbaan dan menikmati keindahan negara berkenaan.

“Saya yakin ini mampu dicapai. Pada masa ini, pelumba kita sudah bertaraf dunia dan untuk mencapai apa yang dicapai oleh Giro d’Italia dan Tour de France, kita mestilah terlebih dahulu menarik penyertaan peminat dan komuniti dalam sukan berbasikal.

Untuk itu, kita mesti bijak melakukan perancangan yang komprehensif dan mula melaksanakan usaha bagi merealisasikannya,” kata Tun Dr Mahathir.

Turut hadir pada majlis berkenaan termasuk Menteri Belia dan Sukan YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi Human Voyage Shahaizereen A Hamid dan Naib Presiden PETRONAS, Bacho Pilong yang mewakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

“Tahun ini, saingan akan ditayangkan secara langsung kepada ratusan juta penonton menerusi siaran langsung Eurosport2 di 52 buah negara dan 11 negara di Eurosport Asia-Pasifik.”

Syed Saddiq

Syed Saddiq dalam ucapannya memuji usaha penganjur sambil menggesa orang ramai dan peminat menyokong edisi kali ini dengan menyertai pelbagai acara selain memberikan sokongan padu kepada pelumba.

Lumba basikal, kata beliau, mempunyai jumlah peminat yang ramai mencecah anggaran 3.5 bilion di Eropah, Amerika Utara dan China.

“Tahun ini, saingan akan ditayangkan secara langsung kepada ratusan juta penonton menerusi siaran langsung Eurosport2 di 52 buah negara dan 11 negara di Eurosport Asia-Pasifik.

“Di negara China, perlumbaan akan disiarkan di saluran Hainan TV, Qinghai Satellite TV dan Zhibo TV. Qinghai Satellite TV sahaja mempunyai jumlah pengguna berdaftar lebih 700 juta manakala Hainan Satellite TV lebih 650 penonton berdaftar,” kata Syed Saddiq, sambil menambah kata, LTdL 2020 juga akan dipromosikan menerusi platform digital popular di China seperti WeChat, Weibo selain di saluran YouTube Human Voyage.

Syed Saddiq melahirkan penghargaan kepada semua barisan penaja seperti penaja acara PETRONAS, penaja utama Genting Malaysia Berhad dan MMC, serta penaja rasmi lain seperti KLCC dan Putrajaya Holdings selain Volkswagen, Berjaya dan Bank Rakyat.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, PETRONAS menghargai jalinan kerjasama dengan Le Tour de Langkawi sekali lagi, pada tahun ini.

“Penajaan ini bertepatan dengan komitmen PETRONAS ke arah membangunkan negara menerusi pembinaan tenaga insan. Kami memperakui usaha mewujudkan nilai dan impak sosial sebagai asas untuk mewujudkan negara yang progresif dan mampan,” kata Tan Sri Wan Zulkiflee.

Saingan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 bermula dengan acara “pemanas badan” Kriterium Antarabangsa Malaysia sebelum bermula jelajah sebenar Peringkat 1 di Kuching Jumaat ini.

LTdL 2020 akan berpindah merentasi Laut China Selatan menuju ke Kuala Terengganu untuk Peringkat 2 pada Sabtu ini sebelum meneruskan kayuhan ke pantai Timur. Perjalanan seterusnyta menyusuri Pantai Barat menuju ke utara untuk saingan penamat Peringkat 8.

Perlumbaan 8 peringkat akan berakhir di Langkawi pada 14 Februari sebelum tirai dilabuhkan dengan perlumbaan sampingan Klasik Antarabangsa Malaysia yang dianjurkan sempena sambutan jubli perak LTdL pada 15 Februari.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: