Kriterium Antarabangsa beri gambaran awal

Scroll down to content

DENGAN tujuh laluan landai dan 24 zon pecutan yang terhidang sepanjang edisi ke-25 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020, persaingan merebut jersi hijau Raja Pecut begitu menarik perhatian, dan gambaran awal akan dapat disaksikan pada Perlumbaan Kriterium Antarabangsa Malaysia, pagi esok.

Memandangkan LTdL diletakkan pada awal musim dalam kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) , pakar pecut yang hadir untuk LTdL kali ini enggan menaruh harapan terlalu tinggi kerana mereka masih di peringkat memanas badan.

Namun, dengan pertaruhan tinggi terutama untuk mengejar kemenangan peringkat, seterusnya gelaran Raja Pecut dan ganjaran mata yang ditawarkan, masing-masing bertekad untuk mencipta sejarah dalam karier masing-masing.


Bagi pakar pecut Terengganu Inc TSG Cycling Team, Harrif Salleh, dia sendiri tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi, demi mengelak tekanan yang tidak perlu.

“Memang semua pakar pecut mahukan kemenangan dalam perlumbaan besar seperti LTdL, tetapi kami juga tidak mahu terlalu berharap kerana tidak mahu berasa tertekan.


“Lagipun, ini adalah perlumbaan awal musim dan pelumba lebih berhati-hati demi mengelak kemalangan dan kecederaan.

“Tetapi tidak dinafikan, saingan dijangka sengit dan mencabar kerana ada banyak laluan berbentuk landai, selain jarak kayuhan yang tidak terlalu panjang. Jadi pasti masing-masing ada strategi tersendiri,” kata pelumba yang menang Peringkat 2 LTdL 2019 di Melaka itu.

Tanpa kapten dan abangnya, Zamri Salleh yang sering menjadi pembantu untuk membawanya ke garisan penamat, Harrif kali ini akan bergantung harap kepada pelumba yang baru dilamar TSG dari Colombia, Carlos Julien Quintero Norena.

Kata Harrif, dia semakin dapat membentuk keserasian dengan pelumba yang pernah mewakili Colombia-Colderportes pada LTdL 2014 itu, dan berharap ia dapat menjelmakan kemenangan peringkat buatnya tahun ini.

Namun Harrif sedar, pakar pecut dari negara Australia tampil dengan lebih bersedia pada LTdL ini kerana sudah menyertai banyak perlumbaan awal musim di negara itu dan New Zealand, sedangkan LTdL 2020 ini adalah perlumbaan keduanya musim ini, selepas Cambodia Bay Classics di Kemboja, pertengahan Januari lalu.


Antara pasukan dari Australia yang memanas badan dengan baik menjelang LTdL ini ialah St George Continental Cycling Team, Team Bridgelane dan Ara Pro Cycling Sunshine Coast.
Turut hadir dengan semangat tinggi untuk mengejar kemenangan peringkat adalah pakar pecut St George, Quick Blake yang dua kali dinafikan beberapa meter terakhir di garisan penamat dan terpaksa akur di tempat kedua pada LTdL 2019 lalu.

Namun dengan nada lebih matang dan yakin, Blake berkata, prestasinya semakin meningkat kerana menyertai beberapa perlumbaan di Australia dan New Zealand sejak awal tahun ini.


“Ya, saya sudah banyak belajar daripada beberapa kesilapan yang menafikan saya kemenangan peringkat pada tahun lalu.

“Antaranya ialah mencari garisan yang sesuai ketika berada di kelompok depan, mengkaji aspek teknikal menjelang ke garisan penamat serta memilih masa yang tepat untuk memulakan henjutan.

“Ini semua meningkatkan semangat saya untuk mencatat keputusan yang lebih baik pada LTdL 2020 ini. Kali ini, saya juga mendapat bantuan rakan pelumba muda, James Harvey untuk menarik saya ke depan, kata pelumba berusia 20 tahun itu,” jelasnya.

Antara pakar pecut diramal akan bersaing sengit pada penghujung tujuh daripada lapan peringkat LTdL ini adalah pelumba Androni Giocattoli-Sidermec; Luca Pacchioni, Matteo Pelucchi (Bardiani CSF Faizane), Biniam Ghirmay (NTT Pro Cycing) dan Riccardo Minali (Nippo Delko One Provence).

Namun tumpuan juga terarah kepada Peringkat 4 Putrajaya ke Genting Highlands sejauh 124.9km, dengan pakar pendaki dijangka akan cuba memenangi peringkat itu, seterusnya mencari bekalan masa yang selesa untuk mengekalkan jersi kuning pendahulu sehingga ke peringkat terakhir.

Ketika tumpuan diberikan kepadanya berdasarkan reputasi sebagai pelumba berpengalaman dan pernah berkayuh di peringkat tertinggi Grand Tours, Pierre Rolland sebaliknya berkata, dia lebih banyak dalam persiapan untuk menghadapi pelbagai lagi perlumbaan di benua Eropah selepas ini.

“Saya tahu Genting Highlands kerana pernah ke LTdL ini pada 2013. Saya mempunya memori yang manis selepas berkayuh di sini tujuh tahun lalu di mana, saya menikmati kayuhan yang lebih mantap di Eropah selepas itu.

“Tetapi jujur saya katakan saya masih dalam proses membina kekuatan kerana persiapan pada musim sejuk lalu terganggu disebabkan kemalangan. Jadi saya cuma berharap dapat berkayuh dengan baik di Genting tanpa sebarang sasaran besar,” kata pelumba 33 tahun itu yang berkayuh 10 kali di Tour de France itu.

Pencabarnya nanti sukar diramal tetapi di atas kertas, pelumba NTT Pro Cycling, Louis Meintjes hadir reputasi hampir sama dan bertekad mahu meneruskan tradisi penguasaan pelumba dari Afrika Selatan di LTdL.

“Saya tahu jelajah ini (LTdL) ini beberapa kali dimenangi pelumba Afrika Selatan sebelum ini dan pasti manis sekiranya saya dapat meneruskan tradisi itu kerana pasukan ini sentiasa mencari keputusan memberangsangkan.

“Pasti menjadi satu penghargaan sekiranya mendapat peluang mewakili pasukan dan menunjukkan kayuhan yang baik,” katanya yang mahu menambah koleksi kemenangan pasukan itu selepas prestasi baik rakan sepasukan, Giacomo Nizzola di Peringkat 5 Tour Down Under, Januari lalu.

Pakar pendaki lain yang harus diberi tumpuan adalah juara LTdL 2018 Artem Ovechkin (TSG), Serghei Tvetkov (Sapura Cycling Team), Nariyuki Masuda (Utsunomiya Blitzen) dan Kevin Rivera (Androni).

PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 membuka tirainya dengan Peringkat 1 di Kuching, Jumaat ini (7 Februari) dan berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi Sembilan buah negeri.

Sempena ulang tahun jubli perak ini juga, penganjur Human Voyage Sdn Bhd turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa Malaysia di Kota Kinabali dan Perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: