Uncategorized

Persaingan sengit pecut, mendaki setiap hari


Pasukan Bardiani CSF Faizane diwakili pakar pecut, Androni Giocattoli Sidermec.

APABILA tirai saingan PETRONAS-Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) membuka tirainya dengan Majlis Pengenalan Pasukan di Kota Kinabalu, malam Rabu ini, peminat berbasikal jelajah boleh menjangkakan saingan yang sengit setiap hari.

Ini kerana, setiap hari peminat akan dapat melihat siapa yang akan lebih menonjol pada penamat di laluan landai mahupun apabila mereka tiba di Peringkat 4, Putrajaya ke Genting Highlands yang bakal menjadi penentu dalam persaingan Raja Bukit dan gelaran individu keseluruhan.

Dengan lapan peringkat dihidangkan untuk perlumbaan edisi ke-25 tahun ini, bermula dengan Peringkat 1 di Bandaraya Kuching, pada Jumaat, peminat boleh membuat congakan awal siapa yang bakal bertarung untuk merebut jersi hijau Raja Pecut.

Tumpuan di penamat laluan landai lebih menjurus kepada beberapa pakar pecut yang pernah menang peringkat dalam LTdL sebelum ini, dan paling menonjol adalah Matteo Pelucchi, bekas pelumba Androni Giocattoli Sidermec yang kini menyarung jersi Bardiani CSF Faizane.

Namun Androni yang mengumpul tiga kemenangan peringkat pada edisi 2019, turut menurunkan pakar pecut yang pernah menikmati kemenangan peringkat di LTdL 2018 iaitu Luca Pachioni, bekas pelumba Wilier Trestina yang menang di Peringkat 6 Tapah ke Tanjung Malim.

Pasukan tempatan, Terengganu Inc Cycling Team (TSG) juga masih menaruh harapan terhadap pakar pecut handalannya, Harrif Salleh yang menang di Peringkat 2 di Melaka tahun lalu manakala satu lagi pasukan tempatan, Sapura Cycling Team juga menyandarkan harapan kepada pemenang Peringkat 1 tahun lalu, Marcus Culey untuk mengulangi kejutan.

Pasukan profesional benua dari Perancis yang membuat penampilan kali pertama, Nippo Delko One Provence turut mengharapkan Riccardo Minali yang menang dua peringkat di Kota Bharu dan Pekan pada 2018, ketika menyarung jersi Astana Pro Team.

Henjutan beramai-ramai ke garisan penamat pada tahun ini juga dimeriahkan dengan pesaing-pesaing yang belum pernah mengukir nama sebagai pemenang peringkat dalam sejarah panjang LTdL, antaranya pelumba St George Continental yang dua kali menduduki tempat kedua, Quick Blake, Biniyam Ghirmay (Nippo Delko) dan pelumba muda pasukan berstatus World Team, NTT Pro Cycling, Samuele Battistella.

Ghirmay, pelumba Eritrea berusia 19 tahun kini dilihat sedang meniti prestasi terbaik kerana baru meraih kemenangan peringkat dan jersi Raja Pecut di Jelajah La Tropicale Amissa Bongo pada bulan lalu manakala Battistella, pelumba Itali berusia 21 tahun, adalah juara dunia Bawah-23 tahun lalu.

Jika perebutan jersi hijau Raja Pecut dan kemenangan peringkat diramal akan dapat disaksikan pada tujuh peringkat laluan landai yang disediakan penganjur Human Voyage Sdn Bhd, saingan untuk jersi kuning gelaran pemenang individu keseluruhan dan jersi merah Raja Bukit turut mendebarkan.

Pemenang peringkat di puncak Genting Higlands seringkali menjamin laluan yang lebih mudah buat pelumba untuk terus menyarung jersi kuning sehingga ke peringkat terakhir, seperti yang dilakukan pelumba Sapura Benjamin Dyball tahun lalu, serta ramai pelumba pasukan lain sebelumnya.

Malah ketika Genting Highlands tiada dalam laluan LTdL akibat kerja-kerja pembinaan, pelumba TSG dari Russia, Artem Ovechkin yang menguasai perlumbaan ke puncak Cameron Highlands, memenangi jersi kuning buat pasukan benua itu pada edisi 2018.

Tanpa Dyball, perebutan kemenangan di Genting Highlands pada Peringkat 4, untuk membuka laluan ke penguasaan jersi kuning individu keseluruhan sehingga ke Peringkat 8 dan terakhir di Pulau Langkawi, turut menarik tumpuan ramai peminat kali ini.

Ovechkin dan Metkel Eyob masih disenaraikan oleh pasukan TSG untuk mengejar kemenangan di Genting, tetapi kehadiran ramai pakar pendaki handalan kali edisi jubli perak LTdL 2020 ini, termasuk pelumba B&B Hotels-Vital Concept, Pierre Rolland dan Cyril Gautier menambahkan lagi debaran.

Seorang lagi pakar pendaki yang harus diberi perhatian adalah pelumba kelahiran Afrika Selatan, Louis Meintjes yang mewakili NTT Pro Cycling; pelumba Sapura Serghei Tvetkov yang menduduki tempat ke-11 ketika bersama Olivers Real Food, serta pelumba Androni, Kevin Rivera di tempat ke-13 tahun lalu.

Namun gelaran Raja Bukit bukanlah dapat ditentukan di Genting, seperti mana yang dilakukan oleh pemenang jersi merah 2019, Angus Lyons dari pasukan Olivers Real Food Racing di mana pelumba Australia itu tiada langsung dalam senarai 20 teratas di Genting Highlands.

Pelumba berusia 24 tahun yang turut bergelar Raja Bukit Jelajah Tochigi di Jepun itu ialah bijak mengutip mata di zon pendakian (KOM) sejak peringkat awal dan terus mendahului senarai pungutan mata di setiap zon pendakian mudah sehingga ke peringkat terakhir.

Mungkin taktikal yang sama akan diulangi oleh pelumba lain pula kali ini tetapi risikonya cukup besar. Jika berjaya, mereka mendapat ganjaran mata yang lumayan di zon pecut dan KOM, malah tidak mustahil menang dengan melintasi garisan penamat secara solo.

Namun sekiranya silap percaturan, mereka mungkin kehabisan tenaga akibat cuaca panas terik di negara ini dan tercicir jauh, malah kerugian masa yang besar selepas ditangkap peloton dan gagal muncul di garisan permulaan pada peringkat seterusnya.

Senario ini mungkin akan dapat disaksikan sekali lagi pada LTdL 2020 ini kerana sejak beberapa edisi lalu, peloton dalam LTdL sering kali menyaksikan cubaan pelumba melakukan breakaway secara solo mahupun dalam kumpulan kecil setiap kali mendapat peluang.

Walau apa strategi dan taktikal yang akan digunakan pasukan dan pelumba, edisi ke-25 LTdL 2020 kali ini tetap menyajikan debaran tersendiri yang hanya akan terjawab sejurus berakhir Peringkat 8 di Pulau Langkawi pada 14 Februari nanti.

PETRONAS-Le Tour de Langkawi 2020 akan membuka tirainya dengan Majlis Pengenalan Pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari, sebelum Peringkat 1 dimulakan di Kuching pada 7 Februari dan berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan buah negeri.

Sempena ulang tahun jubli perak ini juga, penganjur Human Voyage Sdn Bhd turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu pada 6 Februari dan Perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.

Selain tumpuan perlumbaan di atas jalan raya, pelbagai acara berkaitan komuniti dan masyarakat setempat diadakan termasuk kayuhan santai dan pameran mini, yang akan diadakan di lokasi permulaan dan penamat pada sepanjang lapan hari perlumbaan.

Agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga menyediakan booth dan trak makanan untuk menjual pelbagai produk pertanian di beberapa lokasi terpilih.

Perlumbaan 8 peringkat PETRONAS LE Tour de Langkawi 2020 dijadualkan berlangsung pada 7 hingga 14 Februari 2020, meliputi jarak keseluruhan 1,145.9 kilometer merentasi Sembilan negeri termasuk Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: