
Persekutuan Muay Thai Profesional Malaysia (MFMP) bakal mengambil tindakan tegas termasuk menyekat petinju Thailand, Iquezang daripada mengambil bahagian dalam mana-mana pertandingan muay thai di negara ini.
Presiden MFMP, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abd Ghani berkata, ia berikutan timbul ketidakpuasan hati terhadap persembahan petinju itu pada Kejohanan KMC Fight di Kota Bharu, malam semalam.
Menurutnya, Iquezang bertindak menarik diri ketika bertemu petinju Estonia, Andi Uustalu selepas beraksi selama beberapa minit akibat rebah ditumbuk di bahagian dada.
Pertarungan itu diadakan tanpa memakai sarung tangan (Kard Chuek) dan difahamkan pertama kali dilangsungkan di Kelantan.
“MFMP sangat kesal dengan insiden ini kerana ia merupakan perlawanan ‘Kard Chuek’ yang pertama seumpamanya berlangsung di Kelantan.
“Saya boleh lihat rasa tak puas hati lebih 8,000 peminat pada malam ini. Mereka hadir semata-mata untuk melihat pertembungan hebat dua petinju itu namun apa yang berlaku sebaliknya,” katanya.
Mohd Fared memberitahu, pihaknya akan menghantar surat bantahan kepada Konsulat Jeneral Thai di Kelantan, Pejabat Sukan Negara Thailand dan kelab yang diwakili petinju itu.
Menurutnya lagi penganjur kejohanan, Kelantan Muay Thai Channel (KMC) juga diarahkan memberi penjelasan mengenai kontroversi melibatkan petinju terkenal Thailand itu.
“Penganjur perlu mengambil serius insiden seperti ini dan cuba memperbaiki kelemahan yang ada agar ia tidak merosakkan reputasi sukan muay thai dan menghakis sokongan peminat di negara ini,” katanya.
Untuk rekod, kejadian hampir sama berlaku melibatkan jaguh nombor dua dunia, Saenchai dari Thailand ketika menentang Kim Dong-hwan (Korea Selatan) apabila tidak sampai seminit perlawanan dilangsungkan pada Kejohanan Cabaran Antarabangsa DSPEX di Kuala Terengganu, Oktober tahun lalu.
Add Comment