
Bekas ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi menafikan akan bersara susulan penyebaran berita mengatakan dia sudah mengucapkan selamat tinggal daripada dunia bola sepak.
Sebaliknya Mohd Badhri atau dikenali Piya itu menjelaskan, dia masih mempunyai keinginan tinggi untuk bermain sekalipun belum menandatangani kontrak lanjutan bersama Kelantan United FC.
Menurutnya, berita yang mengatakan dia akan bersara merupakan spekulasi tidak benar yang disebarkan oleh pihak tertentu.
“Saya masih ada kudrat untuk bermain dan saya juga masih mahu bermain. Berita itu (spekulasi bersara) tidak benar sama sekali.
“Memang saya masih belum menandatangani kontrak bersama Kelantan United, tapi Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan berjumpa jurulatih dan pengurusan pasukan,” katanya.
Pemain berusia 38 tahun itu dibawa masuk pada pertengahan musim lalu dan membantu kelab berkenaan menjuarai Liga M3 sekali gus layak secara automatik ke Liga Premier musim ini.
Sepanjang pembabitannya bersama Kelantan, perancang tengah itu telah membantu skuad The Red Warriors menamatkan kemarauan 89 tahun menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2010 selain merangkul trofi Liga Super (2011 dan 2012) dan Piala FA.
Add Comment