Uncategorized

Ateeq Hishan ukir nama di Brunei

MUNGKIN tidak ramai yang tahu bahawa ada anak Malaysia yang berkelana di bumi Brunei untuk mengembangkan karier bola sepak.

Pemain dimaksudkan adalah Mohammad Ateeq Hishan Zainal Abidin yang merupakan salah satu nama tidak asing lagi di kalangan sukan bola sepak Brunei.

Dia kini merupakan seorang pemain tonggak tengah utama pasukan DPMM FC.

Ateeq (dua, kiri) membarisi skuad DPMM FC B16.

Pada perlawanan terakhir Kejohanan Belia Kebangsaan Bawah 16 Tahun Brunei baru-baru ini, Ateeq membantu pasukannya mengekang pasukan Tabuan Muda (pasukan kebangsaan Brunei) dengan keputusan jaringan 2-2.

Aksi di Stadium Utama Bolasepak Sultan Haji Hassanal Bolkiah itu juga membolehkan DPMM FC ditabalkan sebagai naib juara yang hanya kekurangan satu mata sepanjang kejohanan berlangsung.

Menurut Zainal Abidin Sulaiman, anaknya itu mula berjinak dengan permainan bola sepak seawal usia tujuh tahun lagi.

Malah, paling membanggakan mereka sekeluarga apabila dia pernah dipilih sebagai pemain terbaik di kejohanan bola sepak B12 tahun anjuran NFABD.

“Ateeq juga pernah terpilih untuk menjalani latihan di Barcelona di bawah program kem bola Astro pada tahun 2018 selama dua minggu.

“Ateeq pernah juga berlatih bersama pasukan Projek Ikan Pusu dan pasukan kebangsaan B16 Brunei,” jelasnya kepada Cakap Sukan di Brunei.

Ateeq (dua, kanan) ketika berada di Barcelona.

Tambah Zainal Abidin lagi, pada tahun 2019 anaknya itu dipilih mewakili pasukan kelab DPMM B16 tahun ketika berusia 13 tahun.

Pemain yang baru menyambut kelahirannya yang ke-14 pada 13 Disember lepas bercita cita besar menjadi pemain profesional suatu hari nanti dan seterusnya dapat menyarung jersi kebangsaan Malaysia.

“Bagi mencapai matlamatnya, kami selalu membantu Ateeq mencari peluang untuk melengkapkan diri ke arah itu,” ujarnya lagi.

Bagi tujuan itu, pada minggu lepas, Ateeq yang cukup meminati gaya permainan bintang Argentina, Lionel Messi telah menjalani ujibakat di Cruzeiro Football Akademi yang berpengkalan di British International School Phuket selama seminggu.

Kami di Cakap Sukan sentiasa berdoa dan mengucapkan selamat maju jaya buat Ateeq dan berusaha sungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita yang diimpikan.

Zainal Abidin (kanan) bersama Ateeq dan keluarga.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: