Uncategorized

Sah, Manchester United lepaskan Ashley Young ke Inter Milan


Inter Milan akhirnya berjaya menoktahkan proses perpindahan Ashley Young dari Manchester United.

Pemain pertahanan berusia 34 tahun itu mengikat kontrak sehingga akhir musim ini dengan opsyen lanjutan pada musim berikutnya.

Sebenarnya, khabar angin mengenai penghijrahan Young ini sudah bertiup kencang dalam minggu terakhir sejak The Red Devils melantik Harry Maguire sebagai kapten pasukan.

Menyertai kelab gergasi Itali itu bermakna ia mengakhiri karier panjang Young bersama Manchester United.

Young berkemungkinan menyarung jersi bernombor 15 di Inter. Dia bakal menjadi salah seorang pemain penting untuk membantu Inter terus bersaing dengan Juventus di puncak kempen Serie A musim ini.

Difahamkan, nilai perpindahan Young dianggarkan sekitar 1.5 juta euro untuk bergabung dengan pasukan Antonio Conte. Kontrak Young berakhir pada akhir musim ini, sekali gus memudahkan rundingan kedua-dua kelab.

Dipetik dalam laman rasmi Inter, Young setuju dengan kontrak tetap sehingga 30 Jun 2020, dengan opsyen lanjutan satu tahun berikutnya.

Young merupakan pemain Inggeris ketiga yang pernah beraksi untuk Inter, mengikuti jejak Gerry Hitchens dan Paul Ince. Dia juga mengikut jejak langkah dua bekas pemain Manchester United lainnya yang terlebih dahulu bergabung dengan Inter, iaitu Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez.

Sepanjang mewakili Manchester United, Young layak dianggap sebagai pemain paling setia. Dia pernah bermain sebagai penyerang sayap, dan menukar posisi bagi membantu pasukan United yang ketika itu berdepan kesulitan di bahagian bek.

Dia telah bermain lebih daripada 250 pertandingan bersama kelab setelah berhijrah dari Aston Villa pada tahun 2011. Dia juga sudah mengumpul 19 gol sepanjang kariernya di Old Trafford.

Untuk rekod, bersama Manchester United dia pernah meraih satu trofi Liga Perdana Inggeris (2012/13), satu Piala FA, satu Piala Liga, tiga trofi Community Shield, dan satu Liga Europa.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d