Uncategorized

Mohamad Aniq Ridzuan jadikan Safiq Rahim sebagai idola


Ketua pasukan Empire Gemuruh FC, Mohamad Aniq Ridzuan Halim mengakui dia sentiasa menganggap Safiq Rahim sebagai idolanya kerana banyak belajar bagaimana untuk menjadi pemain hebat dalam dunia bola sepak moden daripada ikon bekas pemain kebangsaan berkenaan.

Mohamad Aniq Ridzuan yang kini bersama kelab Empire Gemuruh sejak 2018 tanpa berselindung mendedahkan dia suka melihat gaya permainan Safiq ketika mewakili kelab Johor Darul Ta’zim dan Melaka United serta Harimau Malaya sebelum ini.

“Siapa yang tak kenal abang Safiq (Rahim). Bagi saya, dia adalah seorang daripada pemain paling hebat sepanjang zaman, dan dia adalah idola saya dalam bola sepak.

“Saya sentiasa mahu jadi sepertinya. Tenang mengemudi jentera tengah pasukan dan ada karakter tersendiri atas padang.

“Saya belajar banyak perkara setiap hari, sama ada ketika latihan, atau ketika menyaksikan dia bermain di stadium dan menonton di kaca televisyen,” ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Lela Pahlawan kepada Cakap Sukan baru-baru ini.

Beliau mengidam membarisi skuad kebangsaan pada masa depan.

Baru berusia 16 tahun, Mohamad Aniq Ridzuan yang juga beraksi di posisi midfield sama seperti Safiq turut menanam impian besar bergelar pemain negeri dan kebangsaan pada satu hari nanti.

“Saya akui bukan mudah nak sampai ke tahap itu, tapi saya tidak akan mudah berputus asa. Dengan sokongan penuh daripada pihak keluarga, rakan seperjuangan dan tidak dilupakan jurulatih menjadikan segala itu sebagai pembakar semangat memburu impian.

“Semua itu membuatkan saya lebih kuat dan mampu meningkatkan kemampuan diri di atas padang,” katanya yang membesar di Padang Serai, Kulim, Kedah.

Dalam pada itu, pemilik jersi nombor lapan Empire Gemuruh ini tanpa berselindung memuji jurulatih Rafiq yang disifatkannya sebagai sumber inspirasi dan disayangi semua pemain.

“Coach Rafiq tidak lokek ilmu dan banyak memberikan tunjuk ajar kepada kami. Dia berpesan supaya tingkatkan permainan dan usaha sungguh-sungguh setiap kali sesi latihan dan perlawanan sebenar.

“Oleh itu, saya bertekad mahukan sesuatu yang lebih, saya mahu menang, saya mahu lebih banyak trofi, menjaringkan lebih banyak gol. Jadi, saya sentiasa belajar daripada jurulatih setiap hari,” jelasnya lagi.

Empire Gemuruh bersama pingat kejuaraan dalam satu pertandingan tahun lalu.

Sebagai rekod, antara pencapaian terbesar dilakar Mohamad Aniq Ridzuan adalah muncul juara liga campuran anjuran EGFC, juara bawah 16 anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Serai dan johan bawah 16 anjuran KBFC Kickers.

Bukan itu sahaja, dia juga membantu pasukan menduduki tempat ketiga terbaik bawah 16 terbuka sempena Hari Sukan Malaysia dan meraih kedudukan keempat terbaik Liga ISMA Zon Utara 2019.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d