Uncategorized

PENGALAMAN BERGUNA BUAT KELANTAN UNITED, ZAHASMI TETAP GEMBIRA



Gassama (tengah) cuba melepasi halangan dua pemain TFC pada aksi persahabatan di Kuala Terengganu, malam tadi. FOTO KREDIT : KELANTAN UNITED FC

PENDATANG baharu Liga Premier musim 2020, Kelantan United FC memperoleh pengalaman berguna ketika tewas tipis 1-2 kepada Terengganu FC (TFC) pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Ia merupakan kekalahan pertama skuad kendalian Zahasmi Ismail pada aksi persahabatan kompetitif pra musim setelah sebelum ini kerap kali meraih kemenangan besar ke atas pasukan bertaraf amatur di Kota Bharu.

Ariff Fadzilah Abu Bakar yang kembali menyarung jersi skuad Penyu setelah bersama Felda United FC musim lalu membuka akaun jaringan pada minit ke-22 menerusi satu sepakan jarak jauh menewaskan penjaga gol veteran, Mohd Shahrizan Ismail.

Penyerang import kelahiran Mauritania, Dominique Da Silva yang sebelum ini meledak dua gol ketika TFC terikat 3-3 dengan Kelantan bulan lalu mengukuhkan kedudukan apabila merembat masuk jaringan kedua, pada minit ke-56.

Penyerang import pelawat, Gassama Alfusainey menghadiahkan gol saguhati apabila menghukum kelalaian benteng pertama skuad bimbingan Mohd Nafuzi Zain dengan menolak masuk, pada minit ke-81.

Kebangkitan lewat permainan Kelantan United FC bagaimanapun masih gagal menghalang tuan rumah daripada meraih kemenangan di hadapan penyokong setia mereka.

Sementara itu, Zahasmi tetap gembira sekalipun pasukannya tumpas sambil menjelaskan anak didiknya mempamerkan aksi positif walaupun baharu kali pertama diturunkan dalam aksi kompetitif menentang skuad Liga Super itu.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: