
CUACA panas terik tidak menghalang kemeriahan Karnival Bola Sepak Butterworth Bawah 15 Tahun 2019 berlangsung di Padang SK St Mark Butterworth, Pulau Pinang di sini, semalam.
Bermatlamat mencungkil pelapis dalam sukan bola sepak karnival, program ini mendapat sokongan daripada pihak penganjur bersama iaitu, Bintang Biru dan My World Hunters FA.
Sebanyak lapan pasukan bertanding iaitu, Bintang Biru, My World Hunters, Anchovies FC, Paroy FC, KB Rangers, DNA Penanti FC, SPT Indians dan BW Youth FA.
Pada perlawanan akhir berkenaan, Paroy FC muncul juara musim ini selepas membenam Bintang Biru 1-0 hasil jaringan tunggal Muhammad Hafizul Sharul Nizam.
Menurut pengurus pasukan Paroy FC, Wan Azli Wan Teh, pihaknya teruja dan bersyukur apabila kemenangan memihak kepada mereka.

Format pertandingan ini menyaksikan pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan di mana saingan peringkat kumpulan akan dijalankan secara liga satu pusingan bagi menentukan dua pasukan teratas mara ke pusingan seterusnya.
Kejohanan itu menawarkan hadiah trofi, medal dan wang tunai.
Objektif utama kejohanan adalah memberi peluang kepada pemain-pemain muda menonjolkan bakat masing-masing seterusnya digilap menjadi pelapis sukan itu.
Add Comment