
TANPA sebarang tekanan, NFDP Panthers Malaysia mudah membelasah pasukan Indonesia, Farmel Isvil FA 5-0 aksi bawah 12 tahun Kumpulan B, semalam.
Gol pertama hadir hasil rembatan deras ketua pasukan, Muhammad Aisy Alhakim Hasnizam dan selepas itu gol kedua pasukan berjaya dijaringkan oleh Nur Azim Assyakirin Azman hasil hantaran lintang pemain sayap kanan pasukan.
Seterusnya, pada akhir babak pertama Nur Azim Assyakirin Azman sekali lagi menjaringkan gol ketiga pasukan dan menjadikan pasukan NFDP Malaysia Panthers mendahului 3-0 pada babak pertama.
Pada separuh masa kedua perlawanan, pasukan NFDP Malaysia Panthers berjaya menguasai perlawanan dan menambah jaringan keempat pasukan hasil jaringan Muhammad Hakim Mohammad Hassan. Pertukaran pemain penyerang Airil Izzan Azri telah berjaya memberikan gol kelima buat pasukan.
Ketua Jurulatih NFDP Malaysia Panthers, Veloo Sinnathamby memberitahu, perlawanan pagi ini (semalam) telah berlangsung dengan baik di mana setiap pemain mempamerkan mutu permainan yang baik.
“Untuk perlawanan ini, saya rasa para pemain nampak gugup pada awal pemainan untuk mencari jaringan. Setelah mendapat satu jaringan mereka sudah hilang perasaan itu dan kita terus berjaya mendapatkan jaringan demi jaringan. Kemenangan 5-0 keatas Farmel Isvil FA ini menjadikan saya bangga dengan prestasi pemain saya”.
“Harapan saya untuk perlawanan seterusnya pada hari esok (hari ini) kami akan menentang NFDP Tigers Malaysia dan merupakan saingan yang paling kuat dalam kumpulan kami dan saya harap para pemain dapat mengekalkan prestasi untuk memenanginya,” katanya dipetik menerusi Facebook NFDP.
Add Comment