Uncategorized

Apa nasib Kim Swee selepas ini?


Kim Swee dikecam hebat pengkritik sukan tanah air susulan pasukan kendaliannya gagal ke separuh akhir Sukan SEA 2019.

DALAM masa 90 minit, reputasi hebat seorang jurulatih bola sepak telah ternoda.

Bagaikan menjadi sebuah neraka dunia dengan kejayaan yang diraih sebelum ini, lenyap begitu sahaja. Segala pengorbanan yang dicurahkan dan diberikan kepada umum dilupakan seketika.

Itulah nasib Datuk Ong Kim Swee yang dipersalahkan atas kegagalan pasukan kebangsaan B-22 di Sukan SEA Manila 2019.

Ya, kita setuju bahawa beliau harus bertanggungjawab atas segalanya dan Kim Swee telah memberikan yang terbaik seperti dilaporkan The Cacat.

Benar, dari hari pertama beliau memasuki Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2006, beliau tahu akan berdepan ranjau serta onak duri.

Tetapi tunggu sebentar, adakah para pemain lain tidak wajar disalahkan?

Adakah mereka bermain dengan sepenuh hati dan memberikan 120 peratus aksi atas padang?

Kim Swee pasti mempunyai masalah di bilik persalinan tetapi jurulatih yang dilahirkan di Melaka itu memilih untuk mendiamkan diri.

Beliau dikritik hebat pecinta bola sepak kerana menggunakan formasi 3-4-3 dan kadang-kadang membuatkan pemerhati memandang sinis taktikal diterapkan.

Malah ada peminat pula yang terlebih arif dan bagaikan lebih luah dari sudu. Macam mereka pula ada Lesen Kelas A!

Salah satu ungkapan yang sering digunakan dalam bola sepak kita adalah “semua ini berjaya hasil usaha Dato Midin, semua pujian buat Hamidin”.

Jadi, dengan kegagalan ini diharapkan Datuk Hamidin Amin akan mengambil tanggungjawab yang sama dan mungkin akan memberi alasan pasukan kita bermain bagus dari Tingkat 4 Wisma FAM.

Cakap Sukan juga tertanya-tanya apakah yang akan bermain di minda Kim Swee ketika beliau berada di pesawat sekembalinya dari Manila.

Adakah beliau , selepas 10 tahun bersama skuad Sukan SEA akan pergi meninggalkan pintu di Wisma FAM tanpa pembaharuan kontrak hasil kesepakatan bersama antara kedua-dua pihak?

Akan ditawarkan kontrak baru mungkin, mungkin juga ke NFDP? Siapa tahu kan..

Adakah dia akan di risik oleh pasukan dari Liga Malaysia selepas ini ?

Satu perkara yang pasti berlaku, Kim Swee akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-49 pada 11 Disember depan.

Difahamkan, Kim Swee akan ke Sydney untuk menjalani kursus kejurulatihan Lesen Pro dalam masa beberapa minggu, yang mana masa depannya pasti akan ditentukan.

Jadi buat masa ini, biarlah kita membiarkan jurulatih itu merenungkan masa depannya, walaupun dia sentiasa boleh melakukan Pusingan U dan mengambil alih skuad Sukan SEA 2021.

Mungkin, kudrat dan tenaga Kim Swee masih diperlukan lagi pihak FAM.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d