
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merangkul dua pingat dalam kategori perseorangan wanita Kejohanan Skuasy Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur, semalam.
Pingat perak disumbangkan Tan Phooi Yee setelah tewas kepada peserta tuan rumah, Amelinda 7-11,8-11,4-11 dalam perlawanan akhir individu wanita divisyen 2.
Sementara itu, D Janet Shantini meraih gangsa selepas menundukkan Natashya Ilyana Othman (UM) 11-5,11-4,11-6 dalam aksi separuh akhir kategori sama.
Kejayaan membawa pulang dua pingat itu dianggap prestasi cemerlang bagi UMK yang dibimbing jurulatih skuasy negeri, Shamsul Bahary Salleh.
Dalam pada itu, Pegawai Belia dan Sukan Pejabat Timban Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Nur Yuhanis Mat Yusoff berkata, pihaknya menghantar tiga peserta bertanding dalam kejohanan itu.
“Penyertaan UMK dalam kejohanan ini menjadi landasan terbaik untuk meneruskan kecemerlangan sukan skuasy di peringkat antarabangsa,” katanya.
Untuk rekod, pencapaian Phooi Yee diperingkat kebangsaan pernah menggondol emas Kejohanan Skuasy IPT 1Malaysia Sirkit 3 Zon Selatan 2016, (emas) Kejohanan Skuasy 1Malaysia 2016, (emas) Kejohanan Skuasy IPT Sirkit 2 2017, dan gangsa (Kejohanan Skuasy IPT Sirkit 1), dua tahun lalu.
Add Comment