Uncategorized

Aura Darul Aman pikat Kpah, Kipre


Kipre (kiri) dan Kpah mempunyai naluri tinggi meledakkan gol di hadapan gol lawan.

Juara Piala FA 2019, Kedah tidak mempunyai masalah besar mendapatkan dua penyerang sensasi, Kpah Sherman (PKNS FC) dan Kipre Tchetche (Terengganu FC) bagi memperkukuhkan jentera serangan bagi musim 2020.

Hal ini kerana kedua-dua pemain import itu telah memasang impian untuk beraksi Lang Merah selain mahu bermain di peringkat Asia.

Ketua Unit Liga Super Kedah, Anas Hafiz Mustaffa berkata, ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak meletakkan syarat agar memburu pemain yang sudah mempunyai keinginan untuk bermain bersama Lang Merah.

“Jurulatih, Aidil seringkali bercakap dengan kami untuk mencari pemain yang betul-betul mahu datang ke Kedah.

“Berkaitan dengan Kpah dan Kipre ini, mereka sendiri sebenarnya yang menyuarakan hasrat untuk bermain bersama Lang Merah kepada Aidil. 

“Permulaan positif itu tentunya memudahkan rundingan antara KFA dengan kedua-dua mereka.

“Kita berharap ‘resipi’ ini akan menjadi untuk musim 2020 ketika corak permainan kedua-dua mereka dilihat sesuai dengan taktikal diterapkan Aidil di Kedah,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Darul Aman semalam.

Kpah antara penyerang berkualiti yang menjadi impian banyak pasukan kerana pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super 2019 dengan 14 gol manakala Kipre turut cemerlang bersama TFC yang merupakan penjaring terbanyak Piala Malaysia bagi musim 2018.   

Anas Hafiz berkata, Kedah kini memburu satu slot pemain Asia dari Jepun, Australia atau Tajikistan selepas mereka memutuskan tidak menyambung khidmat Edgar Bernhardt.

Manakala dua lagi khidmat import iaitu Renan Alves dan Shakir Hamzah dikekalkan atas faktor kecemerlangan mereka menjaga kubu Lang Merah pada musim 2019.

Beberapa pemain dan bekas pemain kebangsaan turut dibawa bagi memperkuatkan pasukan iaitu pertahanan, Muhammad Irfan Zakaria, Penyerang, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew Abdullah serta bekas Kapten Felda United, Muhammad Hadin Azman,” katanya. 

Dua lagi pemain tempatan yang disenaraikan adalah bekas penjaga gol PDRM, Mohd Sharil Sa’ari serta pertahanan dari UiTM FC, Zulkhairi Zulkepli.   


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: