Dunia bola sepak Kelantan dikejutkan dengan kepulangan ke rahmatullah bekas jurulatih veteran, Mahadi Yusoff, petang tadi.
Allahyarham Mahadi, 74, meninggal dunia akibat komplikasi penyakit buah pinggang di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, Kota Bharu, selepas Isyak malam ini.
Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar bagi bola sepak Kelantan kerana Allahyarham mempunyai pengalaman luas sepanjang bergelar pemain dan jurulatih, sejak empat dekad lalu.
Allahyarham mempunyai sejarah panjang dalam kerjaya bola sepak apabila mula menyarung jersi Kelantan pada tahun 1960’an sehingga 1977.
Sepanjang tempoh itu, beliau yang terkenal dengan panggilan Abe Di pernah membantu Kelantan muncul naib juara Piala Malaysia pada 1970 selain menjadi kapten pasukan empat tahun berturut-turut dari 1974 hingga 1977.
Antara pemain yang pernah menyumbang bakti bersama beliau ketika itu adalah Agus Daud, Wan Afandi Wan Omar, Irfan Bakti Abu Salim, Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff dan ramai lagi.
Allahyarham Mahadi juga pernah menjadi penolong jurulatih Kelantan pada 1978 dan 1984 ketika di bawah bimbingan Allahyarham Mohammad Che Su.

Setahun kemudian, beliau diberi tanggungjawab lebih besar menjadi ketua jurulatih Kelantan buat pertama kali selain menjadi pembantu kepada, jurulatih dari Singapura, Allahyarham Majid Arif pada 1989.
Allahyarham juga pernah menjadi “pengendali sementara” susulan pengunduran diri jurulatih import Yugoslavia, Milan Duricic (1991) dan Horst Heese (Jerman), setahun kemudian gara-gara prestasi hambar pasukan.
Selepas bersara, Allahyarham terbabit secara aktif bersama Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan selain menganggotai Persatuan Bekas Pemain Lagenda Kelantan.
Sumbangan terakhir Allahyarham adalah menjadi Presiden Akademi Bola Sepak Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS), di bawah kerajaan Kelantan.
Add Comment