Uncategorized

ZAHASMI AKUI PENAT NAMUN BERBALOI KUFC BERGELAR JUARA


KREDIT FOTO : KUFC

Kelantan United juara Liga M3 tahun 2019.

PENGENDALI Kelantan United FC (KUFC), Zahasmi Ismail mengakui penat namun berbaloi selepas pasukannya mencatat sejarah merangkul kejuaraan edisi pertama Liga M3 yang berakhir Selasa lalu.

Ketua Jurulatih berusia 52 tahun itu menjelaskan tempoh 10 bulan adalah satu jangka masa panjang sebelum kelabnya keluar sebagai pemenang mutlak saingan liga amatur itu.

“Alhamdulillah setelah berpenat lelah selama 10 bulan mengharungi liga akhirnya Kelantan United menjadi juara.

“Ia amat meletihkan tetapi kita telah mencapai sasaran (menjadi juara). Secara peribadi saya amat puas hati dengan pencapaian pasukan, pihak pengurusan dan (sokongan) peminat,” katanya.

Jelas bekas pemain Kelantan dan kebangsaan itu lagi, sekarang adalah masa sesuai buat pasukannya berehat setelah mengharungi aksi panjang, musim ini.

“Beri peluang kepada pemain berehat dahulu kerana liga ini lebih panjang daripada Liga Super dan Liga Premier,” ujarnya.

Mengenai persediaan menghadapi saingan Liga Premier musim depan, Zahasmi memberitahu, dia akan melihat terlebih dahulu perancangan daripada pihak pengurusannya terutama membabitkan soal pengambilan pemain import.

“Banyak perkara perlu difikirkan, pasti ada perbezaan antara Liga M3 dan Liga Perdana. Jadi, kita kena analisa (kekuatan dan kelemahan pasukan) semula kerana ia lebih mencabar berbanding Liga M3.

“Kita kena tengok keperluan dan kemampuan yang ada untuk membentuk pasukan yang boleh mencabar dalam Liga Premier.

“Kalau perlu kena tambah pemain import (kita berbuat demikian), sekarang ada dua (import). Liga Premier membenarkan empat pemain termasuk satu daripada kuota Asean,” katanya lagi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: