Uncategorized

Kelantan United ‘hidupkan’ semula bolasepak Kelantan


KUFC muncul juara LIga M3 edisi pertama.

PENDATANG baharu Liga Premier 2020, Kelantan United FC (KUFC) percaya penyertaan mereka mampu merancakkan bola sepak Kelantan biarpun bakal bersaing dengan skuad utama The Red Warriors.

Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kehadiran dua pasukan ini sudah pasti menyemarakkan sokongan dan aura penyokong bola sepak negeri berkenaan.

“Saya lihat perkara ini satu suasana cukup positif, ada kemeriahan bila dua pasukan bertanding, maknanya rakyat Kelantan memang peminat bola sepak yang cukup tegar.

“Saya yakin kedua-dua pasukan ini akan menambahkan kekuatan untuk membuktikan kemampuan masing-masing,” katanya pada majlis meraikan kejuaraan pasukan di Kota Bharu, kelmarin.

Pasukan yang dijenamakan semula daripada MPKB-BRI itu mencatat sejarah apabila menjulang kejuaraan Liga M3 edisi pertama sekali gus layak secara automatik beraksi dalam kancah Liga Premier musim depan.

Che Abdullah percaya, penampilan sulung KUFC dalam pentas Liga Premier musim depan bakal menambahkan sokongan peminat selepas bola sepak Kelantan melalui zaman suram sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kita tengok pada aksi terakhir (seri 2-2 menentang Armed Forces FC) walaupun kedudukan sudah ditentukan (sama ada) kita kalah atau seri dah jadi juara tapi sokongan peminat begitu ramai,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkongsi keterujaan apabila KUFC berjaya melangkah ke liga profesional musim depan selepas hanya semusim beraksi dalam saingan amatur.

“Saya sebut dalam (tempoh) tiga tahun kita pergi ke Liga Premier tapi Alhamdulillah dalam edisi pertama kita dah lonjak ke Liga Premier ini.

“Pada dasarnya pasukan ini memang bersedia daripada segi pengurusan bahkan apa yang kita buat dalam Liga M3 ini adalah (acuan) Liga Premier, jadi bukan tugas rumit untuk KUFC bersaing musim depan,” ujarnya lagi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: