SERAMAI 1,200 peserta dari 70 pasukan bakal berentap memburu 49 pingat emas dalam lima kategori yang dipertandingkan pada Kejohanan Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka Edisi ke -10 yang bakal diadakan bermula 25 hingga 30 November 2019 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat , Johor.
Kejohanan yang memasuki edisi ke 10 ini disertai 11 pasukan bagai kategori IPT Antarabangsa, 26 pasukan IPT Tempatan dan 33 pasukan kategori Silat Seni Asli Terbuka.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Unit Sukan Bahagian Perancangan & Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Pekan Ramli berkata, lima kategori yang dipertandingkan ini menawarkan 49 emas, 49 perak dan 75 gangsa.
“18 emas menjadi rebutan bagi Silat Tanding kategori IPT Tempatan dan lapan IPT Antarabangsa manakala enam bagi Silat Seni IPT Tempatan serta lapan IPT Antarabangsa.
“Selain itu kategori Silat Seni Asli Terbuka yang disertai 33 pasukan menawarkan sembilan pingat emas,” katanya pada sidang media di Putrajaya, sebentar tadi.
Tegasnya, penganjuran kejohanan ini memberi peluang kepada peserta untuk membuktikan kemampuan bersaing diperingkat yang lebih kompetitif.
“Objektif pengajuran adalah menguji pesilat-pesilat IPT agar dapat diketengahkan sebagai skuad pelapis kebangsaan yang seterusnya memberikan pendedahan dan pengalaman berguna kepada atlet IPT untruk bersaing khususnya dari IPT luar negara,” ujarnya.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal &Alumni) Universiti Tun Hussein Onn, Prof Madya Dr Afandi Ahmad.
Add Comment