
JENAMA topi keledar motosikal terkemuka, KYT menjalinkan kolaborasi bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan pengenalan dua topi keledar baharu yang menampilkan grafik khas SIC Racing iaitu KYT TTR JET dan KYT TT-REVO yang menampilkan grafik berinspirasikan Litar Antarabangsa Sepang.
Kerjasama ini bermula dengan pengenalan topi keledar jenama bersama (co-branded) pada acara MotoGP Malaysia 2023.
Elemen-elemen ikonik daripada reka bentuk litar tersebut telah diterapkan ke dalam reka bentuk topi keledar, sekali gus mengaitkan produk ini dengan salah satu venue sukan bermotor di Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata, Litar Antarabangsa Sepang berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan KYT melalui koleksi topi keledar yang meraikan identiti litar serta semangat peminat sukan bermotor.
“Pelancaran koleksi ini semasa acara PETRONAS Grand Prix Malaysia memberi peluang kepada peminat untuk merasai semangat perlumbaan di luar kawasan litar”, jelasnya pada majlis memperkenal topi keledar di SIC, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Perniagaan dan Sukan Bermotor MKA Group, Doc Dol berkata, pihaknya berbangga dapat membawakan topi keledar KYT TTR JET dan TT-REVO SIC kepada para penunggang.
“Kolaborasi ini menggabungkan reka bentuk topi keledar KYT dengan grafik yang diinspirasikan oleh Litar Antarabangsa Sepang, sekali gus menghasilkan edisi istimewa untuk peminat KYT dan sukan bermotor Malaysia”, ujarnya.

KYT TTR JET SIC Racing menggabungkan cangkerang luar termoplastik yang lasak dengan lapisan dalam polistirena yang mampu menyerap hentakan.
Visornya yang tahan calar direka untuk mudah ditanggalkan dan serasi dengan sistem PINLOCK Max Vision 70. Visor matahari terbina dalam memberikan pilihan tambahan kepada penunggang untuk menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan cahaya, manakala sistem pengudaraan direka untuk memastikan aliran udara yang baik semasa menunggang.
Bahagian dalaman TTR JET boleh ditanggalkan dan dicuci, serta dilengkapi ruang untuk pemasangan set kepala bagi kegunaan peralatan komunikasi yang serasi.
Topi keledar ini memenuhi piawaian keselamatan ECE 22.06 dan menggunakan sistem pengikat ‘Double D-Ring’. Ia mempunyai berat kira-kira 1,450 gram dan tersedia dalam saiz S hingga 2XL. KYT TT-REVO SIC Racing diperbuat daripada termoplastik ADT-Resin dan didatangkan dalam tiga saiz cangkerang.
Visornya yang lebar adalah tahan calar, boleh ditanggalkan dengan pantas, serta sedia untuk dipasang Pinlock.
Lima liang kemasukan udara dan empat liang pengeluaran udara membantu aliran udara, manakala pelapik dalaman yang boleh ditanggalkan dan dicuci direka untuk menyerap peluh.
TT-REVO memenuhi piawaian keselamatan ECE 22.06 dan menggunakan sistem pengikat ‘Double D-Ring’. Topi keledar ini mempunyai berat kira-kira 1,550 g ± 50 g dan tersedia dalam saiz M hingga 2XL.
Kedua-dua model ini boleh didapati melalui pengedar sah KYT dan Kedai Rasmi KYT di Shopee. TTR JET dijual pada harga RM559, dengan pengeluaran terhad kepada 3,000 unit manakala TT-REVO pula dijual pada harga RM719, dengan pengeluaran terhad kepada 800 unit.











Add Comment