Antarabangsa • Terkini

12 atlet muda galas cabaran di Sukan Olimpik Remaja

Dakar 2026 turut mencatat sejarah sebagai temasya Olimpik pertama yang dianjurkan di benua Afrika.

SERAMAI 12 atlet muda negara bakal membawa cabaran Malaysia ke Temasya Sukan Olimpik Remaja (Youth Olympic Games – YOG) Dakar 2026 di Senegal, yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 13 November 2026.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, berkata penyertaan kontinjen negara dalam temasya edisi keempat itu merupakan peluang penting untuk atlet muda mendapatkan pendedahan di peringkat antarabangsa, meningkatkan prestasi dan membina asas kukuh bagi perjalanan mereka dalam kerjaya sukan masing-masing.

Kontinjen Malaysia terdiri daripada enam atlet lelaki dan enam atlet wanita yang akan bertanding dalam 16 acara melibatkan sembilan jenis sukan, iaitu olahraga, renang, badminton, bola tampar pantai, breaking, lawan pedang, pelayaran, skateboard dan wushu.

Kontinjen negara akan diketuai oleh Chef de Mission, Encik Wong Weng Son, bekas juara dunia wushu pada 2017 dan 2023, serta disertai empat pegawai sekretariat dan sembilan jurulatih.

Menurut YB Dr. Mohammed Taufiq, sasaran menghadiahkan sekurang-kurangnya satu pingat kepada negara perlu disertai tekad untuk memanfaatkan sepenuhnya pengalaman bertanding bersama atlet muda terbaik dunia.

“Lebih daripada sasaran pingat, saya berharap atlet-atlet muda negara menjadikan YOG Dakar 2026 sebagai medan untuk membina ketahanan mental, memperkukuh kemahiran dan memahami standard persaingan bertaraf Olimpik.

“Anda semua ialah masa depan sukan negara. Bertandinglah dengan penuh disiplin, keyakinan dan semangat kesukanan serta manfaatkan setiap peluang untuk meningkatkan prestasi,” katanya pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke YOG Dakar 2026 di Menara KBS, Putrajaya.

Berteraskan slogan ‘Africa Welcomes, Dakar Celebrates’, temasya ini dijangka menghimpunkan 2,700 atlet muda dari seluruh dunia, dengan penekanan terhadap prinsip ‘Universality and Gender Equality’ bagi menggalakkan penyertaan yang seimbang antara atlet lelaki dan wanita


Add Comment

Click here to post a comment