
AIR MINERAL beroksigen semula jadi premium, Bubbles O2 memperbaharui kerjasama strategiknya bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Penajaan, sekali gus meneruskan peranannya sebagai Rakan Air Mineral Beroksigen Semula Jadi Eksklusif (Exclusive Naturally Oxygenated Mineral Water Partner) bagi tempoh tiga (3) musim lagi, meliputi musim Liga Malaysia 2026-2027 hingga 2028-2029.
Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Bubbles O2, Pedas ini menandakan kesinambungan kerjasama yang bermula sejak tahun 2023.
Selepas tiga musim bekerjasama, pembaharuan perjanjian ini mencerminkan keyakinan serta komitmen jangka panjang kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan pembangunan bola sepak profesional Malaysia.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh , diikuti ucapan oleh Presiden Malaysian Football League, Dato’ Ab Ghani Hassan, sebelum kedua-dua pihak menyempurnakan pertukaran dokumen perjanjian penajaan.

Pengerusi Eksekutif Bubbles O2, YBhg. Dato’ Arifin Marzuki berkata, kerjasama antara Bubbles O2 dan MFL bukan sekadar sebuah penajaan, sebaliknya merupakan komitmen jangka panjang dalam membangunkan ekosistem bola sepak Malaysia.
“Sejak tahun 2023, kerjasama kami bersama MFL bukan sekadar meletakkan logo Bubbles O2 di stadium atau platform Liga Malaysia.
“Sebaliknya, ia adalah komitmen untuk menyokong pembangunan bola sepak negara, menghargai individu di sebalik kejayaan sukan ini serta menyumbang kepada pembinaan ekosistem sukan yang lebih mampan,” katanya.

Tambahnya lagi, bola sepak merupakan sukan nombor satu negara yang menyatukan rakyat Malaysia dan menjadi platform terbaik untuk jenama tempatan berkembang bersama industri sukan.
“Apabila bola sepak Malaysia berkembang, semua pihak akan menerima manfaat. Kelab menjadi lebih kukuh, pemain mendapat sokongan yang lebih baik.
“Penyokong menikmati pengalaman bola sepak yang lebih berkualiti, manakala jenama tempatan seperti Bubbles O2 turut berpeluang berkembang seiring dengan sukan paling diminati rakyat Malaysia,” ujarnya.
Katanya, perjalanan Bubbles O2 sepanjang tiga tahun lalu bergerak seiring dengan perjalanan kami bersama MFL.
“Kami berkembang bersama, mencipta nilai bersama dan terus percaya bahawa kerjasama strategik seperti ini mampu memberi impak yang lebih besar kepada pembangunan bola sepak negara.
“Kerjasama bersama MFL merupakan sebahagian daripada Ekosistem Bubbles O2, iaitu strategi jangka panjang syarikat dalam membina sebuah organisasi yang mampan melalui integrasi keseluruhan rantaian nilai perniagaan,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, mengucapkan tahniah kepada Bubbles O2 atas pencapaian syarikat yang memberangsangkan sejak kerjasama ini dimulakan pada tahun 2023.
Beliau menyifatkan Bubbles O2 sebagai salah satu kisah kejayaan syarikat tempatan yang berkembang pesat, bukan sahaja dari segi pertumbuhan perniagaan, malah berjaya mengembangkan jenamanya ke pasaran antarabangsa.
“Bubbles O2 bukan sekadar penaja, malah merupakan rakan strategik yang berkongsi visi MFL dalam memperkukuhkan pembangunan bola sepak negara.
“Kami mengucapkan tahniah atas kejayaan syarikat ini dan berharap kerjasama yang terjalin akan terus berkembang untuk tiga musim akan datang,” jelasnya.
Menurutnya, antara kejayaan terbesar hasil kerjasama ini ialah apabila jenama Bubbles O2 kini semakin sinonim dengan Liga Malaysia.
“Hari ini, apabila peminat bola sepak menyebut Bubbles O2, ramai yang terus mengaitkannya dengan Liga Malaysia. Itulah kekuatan kerjasama strategik ini, apabila kedua-dua organisasi berkembang bersama dan saling memperkukuhkan jenama masing-masing.
” Sebagai Rakan Air Mineral Beroksigen Semula Jadi Eksklusif, Bubbles O2 akan terus membekalkan air mineral beroksigen semula jadi premium kepada semua pertandingan di bawah kelolaan MFL bagi memastikan pemain, pegawai perlawanan serta warga kerja liga mendapat hidrasi terbaik sepanjang musim.
“Pembaharuan kerjasama ini mengukuhkan lagi kedudukan Bubbles O2 sebagai antara penyokong korporat utama pembangunan sukan negara, selaras dengan aspirasi syarikat untuk membina ekosistem yang mampan melalui kerjasama strategik jangka panjang serta terus menyumbang kepada kemajuan bola sepak Malaysia,” katanya.





Add Comment