Permotoran Terkini

Genting SkyWorlds lantik Hakim Danish selaku Duta Taman Tema

Semangat terhadap sukan permotoran ini turut diterjemahkan menerusi tarikan terbaharu Taman Tema Genting SkyWorlds

TAMAN Tema Genting SkyWorlds secara rasmi melantik bintang perlumbaan motosikal negara, Hakim Danish, sebagai Duta Taman Tema menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), sekali gus memperkukuh kerjasama strategik yang meraikan kecemerlangan atlet tempatan serta menyemarakkan keterujaan menjelang pembukaan tarikan terbaharu, Mad Ramp Peak – Full Throttle Racing.

Kerjasama yang dimeterai menerusi majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) ini mencerminkan komitmen Resorts World Genting dalam menyokong serta mengiktiraf rakyat Malaysia yang terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Menerusi inisiatif “Inspirasi Anak Malaysia”, kerjasama ini meraikan perjalanan cemerlang Hakim Danish daripada litar perlumbaan tempatan ke pentas perlumbaan motosikal antarabangsa, sekali gus dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda Malaysia untuk berani mengejar impian serta menggapai kejayaan dengan penuh keazaman dan ketabahan.

Sebagai Duta Taman Tema, Hakim Danish bersama Taman Tema Genting SkyWorlds akan membawa keterujaan serta nilai-nilai dunia perlumbaan motosikal lebih dekat kepada keluarga dan peminat muda.

Kerjasama ini turut membuka peluang kepada pelaksanaan pelbagai program pembangunan belia serta sesi perkongsian eksklusif, di mana Hakim akan berkongsi pengalaman dan perjalanan beliau sebagai atlet muda yang beraksi di pentas antarabangsa.
Melalui kerjasama ini, Genting SkyWorlds dan ZK Racing berhasrat untuk memupuk bakat baharu dalam bidang sukan permotoran, menyemarakkan semangat kecemerlangan serta memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk berani mengejar impian dan mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

Semangat terhadap sukan permotoran ini turut diterjemahkan menerusi tarikan terbaharu Taman Tema Genting SkyWorlds, Mad Ramp Peak – Full Throttle Racing, yang bakal menawarkan pengalaman perlumbaan motosikal yang mendebarkan menerusi pengalaman permainan imersif yang penuh aksi.

Seiring dengan perkembangan sukan permotoran antarabangsa, tarikan ini memberi peluang kepada para pengunjung untuk merasai sendiri elemen kepantasan, keterujaan dan pengembaraan yang menjadi daya tarikan utama kepada peminat sukan permotoran di seluruh dunia.
Dilahirkan di Terengganu, Hakim Danish merupakan antara bakat muda paling menyerlah dalam arena perlumbaan motosikal negara yang telah mengukir pelbagai pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa.
Antara pencapaian cemerlang beliau termasuk menjadi rakyat Malaysia pertama yang menjuarai Kejuaraan Idemitsu Asia Talent Cup 2022. Tahun ini, beliau sekali lagi melakar sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama dalam tempoh lebih sedekad yang berjaya menaiki podium Kejuaraan Dunia Moto3 serta mencatat kemenangan Grand Prix.

Perjalanan beliau mencerminkan semangat keazaman, ketabahan dan keberanian dalam menyahut cabaran, nilai-nilai yang selari dengan komitmen Taman Tema Genting SkyWorlds untuk mencipta pengalaman yang memberi inspirasi kepada para pengunjung agar berani melangkaui kebiasaan serta meneroka pengembaraan baharu.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting berkata, pelantikan Hakim Danish sebagai Duta Taman Tema membuka lembaran baharu dalam meraikan kecemerlangan bakat sukan negara di samping mencipta pengalaman yang lebih bermakna dan inspiratif buat para pengunjung.

“Hakim Danish melambangkan keazaman, cita-cita dan ketabahan yang menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia. Sebagai atlet muda yang terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, beliau merupakan rakan kerjasama yang amat sesuai untuk Taman Tema Genting SkyWorlds serta duta yang tepat bagi jenama kami.

“Selain meraikan pencapaian beliau, kerjasama ini membolehkan kami mendekati masyarakat menerusi kisah kejayaan yang mencerminkan semangat Inspirasi Anak Malaysia.

“Kami turut menantikan peluang untuk melihat Hakim merasai sendiri tarikan terbaharu kami, Mad Ramp Peak – Full Throttle Racing, apabila ia dibuka secara rasmi kepada para pengunjung.
“Perjalanan dan kejayaan beliau diharapkan dapat terus menjadi inspirasi kepada generasi muda Malaysia untuk berani mengejar cita-cita, menyahut cabaran serta berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.

Hakim Danish turut melahirkan rasa penghargaan atas peluang yang diberikan untuk mewakili salah satu destinasi pelancongan dan hiburan terkemuka di Malaysia.

“Saya amat berbesar hati dan bersyukur kepada Taman Tema Genting SkyWorlds kerana memberikan kepercayaan kepada saya serta memilih saya sebagai duta.
“Kerjasama ini bukan sekadar mengenai kerjaya perlumbaan saya, malah merupakan satu platform untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Malaysia agar berani bermimpi, berusaha gigih dan tidak pernah berputus asa dalam mengejar cita-cita mereka.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Taman Tema Genting SkyWorlds, berkongsi perjalanan saya serta terus mengharumkan nama Malaysia, bukan sahaja di litar, malah di luar litar juga,” ujarnya.

Add Comment

Click here to post a comment