Antarabangsa Lain-Lain Terkini

PABM cipta sejarah di Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Kejayaan yang dikecapi hari ini bukanlah sesuatu yang diperoleh dalam masa singkat

PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh atlet, jurulatih, pegawai serta kepimpinan PABM yang telah berganding bahu mencipta sejarah membanggakan negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Kejayaan membawa pulang enam (6) pingat (5 Emas 1 Gangsa) membuktikan bahawa kejayaan di pentas antarabangsa bukan hanya bergantung kepada atlet yang berdiri di podium, tetapi turut didorong oleh komitmen, kepakaran dan pengorbanan pasukan di belakang tabir.

Kejayaan ini merupakan bukti nyata bahawa jurulatih tempatan mempunyai keupayaan untuk melahirkan atlet bertaraf dunia apabila diberikan ruang, kepercayaan dan sokongan yang sewajarnya.

Saya sejak dahulu sentiasa percaya kepada kemampuan jurulatih tempatan. Mereka mempunyai ilmu, pengalaman dan semangat yang tinggi. Apabila diberi peluang serta kepercayaan, mereka mampu membuktikan bahawa anak tempatan juga mampu membawa Malaysia ke puncak kejayaan.

PABM turut merakamkan penghargaan kepada Naib Presiden PABM merangkap Team Manager, En. Amirul Hamizan Ibrahim, yang memainkan peranan penting dalam menyelaras pengurusan kontinjen sepanjang temasya berlangsung, memastikan setiap keperluan atlet dan pasukan dipenuhi dengan sempurna.

Ucapan tahniah dan penghargaan turut dizahirkan kepada barisan jurulatih negara yang diketuai oleh Edmund Yeo Thian Chuan bersama Mohd Norshah Rizal Ruslan, yang telah membimbing atlet-atlet negara dengan penuh dedikasi, disiplin dan profesionalisme sehingga berjaya menterjemahkan program latihan kepada pencapaian cemerlang di pentas Komanwel.

Kejayaan yang dikecapi hari ini bukanlah sesuatu yang diperoleh dalam masa singkat, sebaliknya lahir daripada pengorbanan besar seluruh pasukan yang sanggup berjauhan daripada keluarga selama berbulan-bulan demi memastikan atlet berada pada tahap terbaik.

Ramai hanya melihat pingat yang dimenangi dan atlet yang diraikan di podium. Namun di sebalik setiap kejayaan itu, terdapat jurulatih dan pegawai yang bekerja tanpa mengenal penat, merancang setiap sesi latihan, mengurus setiap keperluan atlet serta mengorbankan masa bersama keluarga demi memastikan Jalur Gemilang dapat dikibarkan di pentas antarabangsa.

PABM turut merakamkan penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan PABM yang sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap pembangunan atlet dan jurulatih negara. Kepercayaan yang diberikan kepada kepakaran tempatan telah menjadi pemangkin utama kepada kejayaan bersejarah ini.

PABM juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN), semua penaja, persatuan angkat berat negeri serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan kepada pembangunan sukan angkat berat negara.

Kejayaan di Glasgow 2026 menjadi bukti bahawa apabila jurulatih tempatan diberi kepercayaan, disokong oleh kepimpinan yang kukuh serta dibantu oleh sistem pengurusan yang mantap, Malaysia mampu melahirkan atlet bertaraf dunia dan berdiri sebaris dengan kuasa-kuasa besar sukan angkat berat.

Kejayaan enam pingat emas di Glasgow 2026 bukan sekadar kemenangan atlet, tetapi kemenangan seluruh keluarga besar Persekutuan Angkat Berat Malaysia yang bekerja sebagai satu pasukan demi mengharumkan nama negara.


Add Comment

Click here to post a comment