
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik dan mengalu-alukan pengumuman rasmi Formula 1 berhubung penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Sepang International Circuit (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, KBS menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, atas hubungan akrab dan kepercayaan antara kedua-dua negara.
“KBS menghargai hubungan erat serta kerjasama kukuh antara YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan penganjuran perlumbaan ini di Malaysia.
“Perbincangan mendalam berhubung kerjasama ini diadakan antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain dan Formula 1 setelah YAB Perdana Menteri dan KBS menerima makluman awal berkenaan kemungkinan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di SIC,” jelasnya.
Tambahnya lagi, persetujuan yang dicapai ini mencerminkan hubungan persahabatan yang utuh antara Malaysia dan Bahrain, di samping memperkukuh kedudukan negara sebagai hab penganjuran acara sukan bertaraf dunia.
“Penganjuran ini juga dijangka memberi limpahan manfaat kepada ekonomi tempatan menerusi pelancongan, pelaburan dan aktiviti ekonomi berkaitan sukan.
“Litar Antarabangsa Sepang memiliki rekod cemerlang selaku tuan rumah perlumbaan Formula 1 selama 19 tahun, iaitu dari 1999 hingga 2017, dan penganjuran kali ini pastinya dapat mengubat kerinduan peminat sukan permotoran di Malaysia untuk sekali lagi menyaksikan acara berprestij ini di Sepang.
“KBS, menerusi SIC, komited memastikan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 berlangsung dengan lancar mengikut piawaian tertinggi Formula1, sekali gus memberikan pengalaman terbaik kepada pasukan, pelumba dan peminat dari seluruh dunia,” ujarnya.
Penganjuran kali ini dijangka akan terus memperkukuh ekosistem dan pembangunan sukan permotoran negara, meningkatkan lagi reputasi Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran acara sukan antarabangsa serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan sukan.
KBS akan terus komited menyokong pembangunan sukan permotoran negara, khususnya dalam melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.








Add Comment