
HAKIM DANISH RAMLI terus membawa pulang mata penting dalam kempen Kejuaraan Dunia Moto3 apabila menamatkan Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring di kedudukan ke-12 selepas memulakan perlumbaan dari petak ketiga.
Walaupun berdepan hujung minggu yang mencabar, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu tetap berjaya mengutip empat mata kejuaraan dunia untuk mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan.
Sepanjang sesi Latihan Bebas 1 (FP1), Latihan dan FP2, Hakim Danish bersama pasukan berdepan cabaran untuk mendapatkan tetapan jentera terbaik apabila mengalami isu gegaran pada bahagian hadapan motosikal.
Situasi tersebut turut menyukarkan pasukan dalam mencari penyelesaian terbaik, khususnya bagi mendapatkan tahap cengkaman tayar belakang yang diperlukan untuk perlumbaan.
Bagaimanapun, pasukan berjaya melakukan penambahbaikan menjelang sesi kelayakan apabila penggunaan tayar lembut membantu Hakim Danish mendapatkan keyakinan lebih tinggi di atas jentera.
Tanpa mengalami masalah cengkaman, Hakim Danish berjaya mencatat masa kompetitif sehingga melayakkan diri di petak ketiga barisan hadapan.
Dalam perlumbaan 23 pusingan, Hakim Danish memulakan aksi dengan baik apabila melonjak ke kedudukan kedua sebaik lampu hijau dipadamkan sebelum menamatkan pusingan pertama di tempat keenam.
Beliau kekal bersaing rapat bersama kelompok hadapan sehingga pusingan ketiga sebelum mula kehilangan beberapa posisi apabila berdepan cabaran dengan cengkaman tayar belakang.
Walaupun isu gegaran hadapan tidak lagi menjadi masalah ketika perlumbaan, keadaan tayar belakang yang kurang mencengkam pula menyukarkan Hakim Danish untuk mengekalkan rentak bersama pelumba di hadapan.
Hakim Danish bagaimanapun terus berusaha mengawal jentera dalam keadaan sukar dan berjaya memperbaiki kedudukan pada pertengahan perlumbaan sebelum akhirnya melintasi garisan penamat di tempat ke-12 dengan catatan masa 33 minit 19.287 saat.

Keputusan tersebut menyaksikan Hakim Danish mengumpul empat mata tambahan, menjadikan jumlah keseluruhannya 86 mata selepas 11 pusingan.
Beliau kini kekal di tangga ketujuh keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 serta berada di kedudukan ketiga dalam perebutan gelaran Rookie of the Year dengan 86 mata, hanya empat mata di belakang pencabar terdekat, Veda Pratama dari Indonesia, manakala pendahulu, Brian Uriarte kini mengumpul 127 mata.
Walaupun tidak mencapai keputusan seperti yang disasarkan, perlumbaan di Sachsenring memberikan pengalaman berharga buat Hakim Danish dalam memahami cara mengawal jentera apabila tahap cengkaman tidak berada pada tahap terbaik.
Keupayaan menyesuaikan gaya tunggangan dalam keadaan tayar kurang mencengkam menjadi antara aspek penting yang akan terus diperbaiki bagi membantu Hakim Danish tampil lebih kompetitif pada perlumbaan seterusnya.







Add Comment