
HAKIM DANISH Ramli tekad meneruskan momentum cemerlang dalam kempen Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 apabila menggalas cabaran pada Pusingan 11 Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring hujung minggu ini.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu hadir dengan keyakinan tinggi selepas melonjak ke tangga keenam keseluruhan kejuaraan dunia hasil kemenangan bersejarah di GP Republik Czech serta kutipan sembilan mata penting di GP Belanda.
Bagaimanapun, Sachsenring dijangka menjadi antara cabaran paling sukar buat pelumba berusia 18 tahun itu memandangkan karakter litarnya yang unik dengan dominasi selekoh kiri serta laluan sempit, sekali gus memerlukan tahap ketepatan dan fokus yang tinggi sepanjang perlumbaan.
Sebagai rekod, Sachsenring merupakan litar yang mencabar buat Hakim Danish ketika beraksi dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup musim lalu apabila menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-10 sebelum menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-18.
Namun, peningkatan prestasi yang dipamerkan sepanjang musim ini serta tempoh rehat menjalani latihan sepanjang minggu lalu digunakan sebaik mungkin sekali gus memberi keyakinan bahawa beliau mampu tampil lebih kompetitif kali ini.
Hakim Danish kini turut menghuni tangga kedua dalam perebutan gelaran Rookie of the Year dengan 82 mata, hanya dibezakan 20 mata di belakang pendahulu, Brian Uriarte, sekali gus meletakkan dirinya dalam kedudukan terbaik untuk terus memburu kelompok hadapan menjelang rehat musim panas.
Selepas berjaya mara ke sesi Kelayakan 2 (Q2) dalam beberapa perlumbaan terakhir selain konsisten bersaing bersama kelompok pendahulu, Hakim Danish kini meletakkan sasaran untuk mengekalkan rentak positif tersebut di Sachsenring.










Add Comment