
LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) yang menjadi acara berprestij tahunan dalam memberikan pengiktirafan dalam arena bola sepak tempatan, kini dijenamakan semula sebagai Liga M Awards.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ke-2 Bagi Penggal 2025-2029 yang dipengerusikan oleh Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan.
ABK yang diperkenalkan pada musim 2005-2006 akan berwajah baharu bermula dengan Liga M Awards 2025-2026 bagi memastikan identiti penganugerahan lebih tepat dengan skop penilaian yang dilaksanakan.
Liga M Awards dilihat secara tepat sebagai anugerah yang mengangkat kecemerlangan individu dan pasukan dalam saingan Liga Malaysia, berbanding ABK yang secara umumnya merujuk kepada keseluruhan ekosistem bola sepak negara termasuk pasukan kebangsaan, pertandingan peringkat umur serta bola sepak wanita.
MFL dalam satu kenyataan rasmi hari ini turut memaklumkan bahawa Liga M Awards 2025-2026 dijangka berlangsung pada Ogos 2026 berbanding amalan sebelum ini yang diadakan sejurus tamat Liga Malaysia.
Perubahan tarikh penganjuran ini membolehkan Jawatankuasa Pemilih Liga M Awards membuat penilaian secara menyeluruh berdasarkan prestasi pemain sepanjang satu musim penuh, bermula daripada perlawanan pertama Liga Super sehingga aksi terakhir musim 2025-2026 iaitu Perlawanan Akhir Piala Malaysia.
Sebelum ini, proses penilaian dibuat sehingga perlawanan Liga Super ke-24 sahaja. Pada ketika itu, purata pemain yang layak dinilai telah beraksi sekurang-kurangnya 28 perlawanan melibatkan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup.
Bagaimanapun, kaedah tersebut menyebabkan beberapa perlawanan penting pada penghujung musim tidak diambil kira termasuk baki perlawanan Liga Super yang berpotensi menentukan kedudukan akhir pasukan.
Melalui format baharu Liga M Awards, kesemua perlawanan rasmi dalam kalendar Liga Malaysia musim 2025-2026 akan diambil kira termasuk baki saingan Liga Super, perlawanan piala domestik serta Perlawanan Akhir Piala Malaysia yang menjadi kemuncak musim.
Langkah ini dijangka memberikan gambaran yang lebih tepat terhadap prestasi sebenar pemain dan jurulatih kerana penilaian dibuat berdasarkan keseluruhan musim.

Ia juga memberi peluang kepada aksi-aksi penting pada penghujung saingan termasuk jaringan gol, bantuan gol dan aksi menyelamat yang luar biasa dalam perlawanan berprofil tinggi untuk turut diambil kira dalam proses pemilihan.
Selain itu, statistik pemain akan menjadi lebih komprehensif untuk dinilai memandangkan jumlah maksimum perlawanan yang boleh diharungi seseorang pemain sepanjang musim adalah sehingga 38 perlawanan melibatkan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup.
Pada musim lalu, sebanyak 17 kategori anugerah telah dipertandingkan dengan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi, dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut.
Bagaimanapun, dua kategori iaitu Pemain Muda Terbaik Piala MFL dan Penjaring Terbanyak Piala MFL tidak lagi dipertandingkan berikutan kejohanan Piala MFL tidak dianjurkan bermula musim 2025-2026. Justeru, sebanyak 15 kategori anugerah akan menjadi rebutan pada edisi pertama Liga M Awards.
Pastinya tumpuan penyokong bola sepak tanah air kini terarah kepada calon-calon yang berpotensi membawa pulang anugerah berprestij ini selepas mempamerkan aksi konsisten dan cemerlang sepanjang saingan Liga Malaysia 2025-2026.
SENARAI KATEGORI ANUGERAH LIGA M AWARDS 2025-2026
1. Penjaga Gol Terbaik
2. Pertahanan Terbaik
3. Pemain Tengah Terbaik
4. Penyerang Terbaik
5. Jurulatih Terbaik
6. Pemain Import Terbaik
7. Pemain Muda Terbaik
8. Pemain Paling Bernilai (MVP)
9. Fair Play Award
10. Pasukan Terbaik
11. Gol Terbaik
12. FAN XI
13. Kasut Emas Liga Super (Tempatan)
14. Kasut Emas Liga Super
15. Penyokong Terbaik










Add Comment