
SERAMAI 18 jurulatih wanita dari seluruh negara telah terpilih untuk menyertai Program Biasiswa Pendidikan Kejurulatihan FIFA – Kursus Kejurulatihan Diploma AFC ‘B’ Wanita.
Program ini merupakan satu inisiatif yang dijalankan oleh FIFA dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bertujuan memperkasakan pembangunan jurulatih wanita serta meningkatkan standard kejurulatihan bola sepak wanita di Malaysia.
Program biasiswa ini memberi peluang kepada para peserta untuk mempertingkatkan pengetahuan kejurulatihan, kemahiran kepimpinan serta kecekapan praktikal menerusi modul pembelajaran yang komprehensif, sejajar dengan usaha berterusan FIFA dan FAM dalam melahirkan lebih ramai jurulatih wanita yang berkelayakan.
Kursus ini akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu Blok Praktikal yang berlangsung dari 7 hingga 18 Julai 2026, diikuti Blok Teori pada 21 September hingga 2 Oktober 2026.
Sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran, para peserta turut akan menjalankan analisis perlawanan sepanjang Piala Wanita AFF 2026 yang akan berlangsung Jumaat ini, sekali gus memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam bilik darjah dalam suasana pertandingan sebenar.

Program ini diketuai oleh Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM, Soleen Al-Zoubi manakala barisan tenaga pengajar terdiri daripada Ketua Pendidikan Kejurulatihan FAM merangkap Ketua Jurulatih Pendidik, Lim Kim Chon, dibantu oleh dua Penolong Jurulatih Pendidik, Iqbal Hanafi Masduki dan Leila Chua.
Turut menyumbang kepakaran dalam kursus ini ialah Ketua Prestasi Tinggi FAM, Reuben Jude Balraj serta Jurulatih Pendidik Penjaga Gol, Lim Chuan Chin.
Melalui penganjuran program ini, FAM berharap lebih ramai jurulatih wanita dapat diperkasakan dengan ilmu, pengalaman dan kemahiran yang diperlukan untuk terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak wanita negara di semua peringkat.





Add Comment