Bola Sepak Terkini

Oscar Santis sahut cabaran baharu di Liga M

DPMM FC adalah sebuah kelab yang mempunyai sejarah yang hebat

 

PEMAIN import baharu DPMM FC, Oscar Santis mahu terus membuktikan kemampuan untuk bina pengalaman lebih luas apabila memilih menyertai kelab berpangkalan di Brunei Darussalam itu bagi Liga Malaysia musim 2026-27.

Penyerang Guatemala itu menyifatkan keputusan untuk bersama DPMM FC bertujuan untuk mengembangkan lagi kariernya di Liga Malaysia buat kali pertama selain yakin dengan visi dibawah pasukan itu untuk bersaing memberikan cabaran lebih sengit.

Paling menarik, Santis yang berusia 27 tahun ini turut membawa pengalaman yang ada selepas dia sendiri pernah bersaing di pentas Piala Emas CONCACAF 2025 bersama skuad kebangsaan berdepan pasukan-pasukan bertaraf elit selain turut menentang Kanada di suku akhir yang dibarisi bintang dunia seperti Alphonso Davies dan Jonathan David.

Justeru, dia merasakan keyakinan itu sudah tentu semakin bertambah untuknya terus mempertaruhkan aksi lebih cemerlang sambil menyifatkan Liga Malaysia menjadi hala tuju yang tepat untuknya cuba bersaing dengan pemain-pemain berkualiti lain di sini.

“Saya amat bersyukur atas peluang ini. DPMM FC adalah sebuah kelab yang mempunyai sejarah yang hebat, sasaran yang tinggi dan jelas untuk musim kedua mereka di Liga Malaysia.

“Apabila saya berbincang dengan pihak pengurusan serta jurulatih, saya dapat melihat dengan jelas visi mereka dan kesungguhan mereka untuk membawa saya menyertai kelab ini dan ia memberi saya keyakinan yang tinggi untuk datang ke sini,

“Ini adalah persekitaran yang sesuai untuk saya terus berkembang sebagai pemain, mencabar diri dan membantu pasukan mencapai kejayaan.

“Saya yakin dengan kemampuan, kualiti dan bakat yang saya miliki di mana saya pernah membuktikan diri dalam beberapa kejohanan sebelum ini, dan kini saya mahu melakukan perkara yang sama bersama DPMM FC.

Untuk rekod, Santis telah melakukan penampilan sebanyak 57 kali untuk Guatemala sejak 2021 dan turut menjaringkan sebanyak 19 gol setakat ini.


Add Comment

Click here to post a comment