
PERSATUAN Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah (SAS) akan menghantar kontinjen lelaki negara ke Kejohanan Piala Dunia Hoki Masters (WMH) 2026, yang akan berlangsung di Belanda dan Belgium pada 22 Julai hingga 16 Ogos ini.
Pasukan negara akan beraksi dalam lima kategori umur iaitu 40 tahun, 45 tahun, 50 tahun, 60 tahun dan 65 tahun. Kategori 40 tahun akan bermain di HC Schiedam, Schiedam, Belanda, manakala kategori 45 tahun dan 50 tahun akan berlangsung di HC Rotterdam, Belanda, dari 22 Julai hingga 1 Ogos 2026.
Sementara itu, kategori 60 tahun akan bersaing di HC Olympia, Brasschaat, Antwerp, Belgium dan kategori 65 tahun di BHV Push, Breda, Belanda, dari 6 hingga 16 Ogos 2026.
Kejohanan Piala Dunia Hoki Masters merupakan kejohanan paling berprestij dalam kalangan pemain hoki veteran dunia dan dianjurkan setiap dua tahun.
Edisi 2026 merupakan edisi kelapan sejak World Masters Hockey ditubuhkan pada tahun 2012 hasil penyatuan International Masters Hockey Association (IMHA) dan World Grand Masters Association (WGMA), menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh dunia dalam pelbagai kategori umur.
Sehubungan dengan penyertaan kontinjen negara ke Kejohanan Piala Dunia Hoki Masters 2026, Majlis Santapan Hi Tea Diraja bagi kutipan dana telah diadakan dan diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, selaku Penaung Persatuan Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah (SAS),
Majlis turut disertai oleh Presiden SAS, YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mu’adzam Shah, dan juga YBhg Tan Seri Datuk Seri Rashpal Singh Randay yang merupakan Pengerusi Penganjur untuk majlis kutipan dana Persatuan Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah (SAS) sekali gus menzahirkan sokongan baginda terhadap pembangunan serta kesinambungan sukan hoki negara.
Majlis ini bertujuan mengumpul dana bagi memperkukuh persiapan serta menyokong misi lima skuad lelaki negara dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas Piala Dunia Hoki Masters 2026.








Add Comment