
EDISI ke-14 MCKK Premier 7s membuka tirainya Jumaat lalu, apabila enam aksi pembukaan peringkat kumpulan berlangsung penuh sengit di padang bersejarah Malay College Kuala Kangsar (MCKK), sekali gus menghangatkan saingan
merebut Piala NJ Ryan.
Pasukan tuan rumah MCKK memulakan kempen dengan langkah kanan selepas menewaskan Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) 24-5 dalam aksi KumpulanC.
Turut mencatat kemenangan pada hari pertama ialah Kolej Vokasional Arau (KVA) yang menundukkan Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH) 26-20, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) yang menewaskan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (INTEK) 26-5.
Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin (SEMSIRA) juga mengatasi Akademi Ragbi Terengganu (ART) 14-12, HOSBA yang menewaskan Sekolah Menengah King Edward VII 19-17 serta Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) yang mengatasi Royal Military College (RMC) 28-12.

Tumpuan kini beralih kepada aksi hari kedua esok yang bakal menyaksikan kemunculan juara bertahan, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), serta pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), yang masing-masing akan memulakan cabaran memburu kejuaraan.
SSTMI akan membuka kempen Kumpulan A menentang Sekolah Menengah Atas Darunnajah (SMAD) sebelum meneruskan aksi bertemu SMACH dan KVA.
Dalam Kumpulan B pula, juara bertahan SSMP bakal memulakan saingan menentang wakil Jepun, Shizuoka Seiko Academy (SSA) sebelum diuji oleh STAR dan INTEK dalam usaha mempertahankan kejuaraan.
Sementara itu, pasukan tuan rumah MCKK akan meneruskan cabaran dalam Kumpulan C apabila dijadual berdepan SMK Presint 11 sebelum aksi yang dijangka sengit menentang Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) pada sebelah petang bagi memburu slot ke peringkat kalah mati.







Add Comment