Sepak Takraw Terkini

Pahang Mammoth tekad kembali ke STL Premier

Pahang turut memberi peluang kepada dua pemain muda, Mohamad Alif Najmi Mazaidan dan Muhammad Syazrul Aieriel Suparman

PERSATUAN  Sepaktakraw Negeri Pahang (PSTNP) memasang misi besar untuk membawa semula Pahang Mammoth ke pentas Liga Sepak Takraw (STL) Premier apabila memperkenalkan tujuh pemain baharu bagi menghadapi saingan STL Divisyen 1 musim 2026.

Keyakinan ini disuarakan Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang (PSTNP), Datuk Abu Jimi Samat berdasarkan kekuatan mencukupi untuk memburu slot ke STL Premier.

Tegasnya, pasukan yang dibentuk kali ini sebagai antara skuad terbaik pernah dimiliki Pahang selepas melakukan pelaburan lebih besar termasuk membawa masuk pemain import dari Thailand.

“Saya yakin ini antara pasukan paling lengkap pernah kita ada. Gabungan pemain tempatan berpengalaman bersama import Thailand memberi keseimbangan cukup baik.

“Sekarang pemain perlu buktikan kemampuan dan pastikan misi ke STL Premier dapat direalisasikan,” katanya yang juga merupakan Pengurus pasukan sepak takraw kebangsaan.

Untuk rekod barisan antara pemain berprofil tinggi yang akan memperkuatkan Pahang ialah Muhammad Hairul Hazizi Haidir dan pemain import Thailand, Pongsatorn Phong-Udtha di posisi tekong.

Turut disenaraikan ialah Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar, Muhammad Ariff Daniel Mohammad Aripin serta Norfaizzul Abd Razak.

Dalam masa sama, Pahang turut memberi peluang kepada dua pemain muda, Mohamad Alif Najmi Mazaidan dan Muhammad Syazrul Aieriel Suparman bagi menimba pengalaman di pentas lebih kompetitif.

Semua pemain yang diperkenalkan menerima kontrak hingga hujung tahun ini bagi memastikan mereka dapat memberi tumpuan penuh terhadap latihan dan persiapan menghadapi musim baharu.

Abu Jimi berkata PSTNP juga sedang berusaha mendapatkan beberapa lagi pemain termasuk tekong dari Thailand bagi memperkukuhkan pasukan menjelang saingan musim baharu.

Saingan STL Divisyen 1 dijadual berlangsung dari 7 hingga 11 Oktober depan.


Add Comment

Click here to post a comment