Antarabangsa Golf Terkini

11 negara sertai LAO edisi ke 48

Kejohanan ini bukan sekadar untuk menobatkan juara

KELAB Golf Diraja Selangor (RSGC) kekal konsisten menganjurkan Kejohanan Golf Amatur Wanita (LAO) Kali Ke-48 yang merupakan salah satu kejohanan amatur yang paling dinanti-nantikan di rantau ini.

Pada masa sama ia juga kekal sebagai kejohanan golf amatur wanita berasaskan kelab persendirian yang paling lama dianjurkan di Malaysia.

Kejohanan ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 5 Ogos depan dan terbuka kepada pemain berusia 12 tahun ke atas dengan hadicap 13.4 ke bawah.

Pengerusi kejohanan, Ai-Leen Tan berkata, selain pemain tempatan, beberapa bintang luar dari Guam, Bangladesh, Indonesia, Thailand, Singapura, Jepun dan India menyatakan persetujuan untuk bertanding dalam kejohanan itu.

Ujarnya,  kejohanan itu telah melahirkan pemain berbakat seperti Mirabel Ting (juara 2023) dan Winnie Ng yang muncul juara sebanyak dua kali sepanjang penganjurannya.

“Saban tahun kejohanan itu menampilkan pemain lebih berkualiti. Ramai pemain yang bergelar profesional dan kami berbangga kerana dapat menyediakan platform bagi mereka untuk melangkah ke tahap lebih tinggi.

“Setakat ini, saya tidak dapat berkongsi mengenai pemain ternama dari dalam negara yang akan menyertai, tetapi akan ada yang hadir dari Persatuan Golf Malaysia (MGA),” katanya.

Jelasnya,  di RSGC pihaknya komited menyediakan platform yang menyokong dan mengangkat penyertaan wanita dalam sukan golf.

“Kejohanan ini bukan sekadar untuk menobatkan juara — ia adalah medan untuk para pemain muda menyerlahkan bakat, semangat kesukanan dan jiwa perjuangan mereka di dalam sukan golf ini.

“Pada tahun lalu, kami menerima penyertaan dari 11 buah negara. Tahun ini, kami teruja untuk meneruskan momentum itu, dengan Golf Federations of Guam dan Bangladesh serta Indonesian Golf Association menghantar pasukan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Ai-Leen memaklumkan, pihaknya menyasarkan penyertaan lebih elit bagi edisi kali ini apabila penganjur menetapkan peserta tidak boleh mempunyai handicap lebih daripada 13.4.

“Sebanyak empat kategori bakal dipertandingkan, termasuk Piala Tuanku Bahiyah bagi juara gross dan Piala Datin Azian buat pasukan gross.

“Mereka yang berminat diminta melayari laman web rasmi http://lao.thersgc.com untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyertaan termasuk yuran. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 26 Julai depan,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment