Antarabangsa Harimau Malaya Terkini

FAM terus cipta sejarah di mata dunia

Kerjasama ini juga memberi peluang unik kepada pemain eFootball untuk menghubungkan diri dan mewakili kebanggaan serta semangat yang dimiliki oleh Harimau Malaya di pentas global

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mencipta sejarah sekali lagi apabila mengumumkan jalinan kerjasama terbaharunya bersama syarikat multinasional hiburan dan permainan video Jepun Konami eFootball yang  menghubungkan bola sepak tradisional dengan dunia digital seterusnya membuka peluang baharu yang menarik bagi peminat Malaysia.

Pengarah Urusan Konami Hong Kong, Michio Takahashi berkata, pihaknya komited untuk menyediakan cara yang bermakna dan inovatif bagi peminat melibatkan diri dengan eFootball sambil memupuk kecintaan sejagat terhadap sukan yang melangkaui sempadan.

“Menerusi kerjasama bersama FAM ini, dan ikon Harimau Malaya ini, ia membolehkan kami meraikan tenaga bola sepak Malaysia yang dinamik. Kerjasama ini juga memberi peluang unik kepada pemain eFootball untuk menghubungkan diri dan mewakili kebanggaan serta semangat yang dimiliki oleh Harimau Malaya di pentas global,” ujarnya pada majlis pengumuman jalinan kerjasama FAM dan Konami eFootball di Hotel Sofitel, Damansara, Kuala Lumpur.

Hadir samaTimbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail, Exco FAM, ACP (B) Md Dali Wahid serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman.

Buat julung-julung kalinya juga, skuad Harimau Malaya secara rasmi akan dipaparkan dalam eFootball di mana peminat kini boleh bermain sebagai pasukan kebangsaan mereka dengan pemain-pemain tempatan yang disayangi sekali gus memberikan peluang unik untuk mewakili negara mereka di padang maya global.

Pengarah Urusan Konami Hong Kong, Michio Takahashi

Konami dan FAM juga bakal melancarkan kempen eksklusif dan interaktif untuk menghubungkan eFootball bersama komuniti peminat bola sepak di Malaysia.

Kempen yang merangkumi pengaktifan khas, pertandingan serta acara yang direka untuk melibatkan peminat dengan cara unik serta menyerlahkan lagi semangat yang mendefinisikan budaya bola sepak Malaysia.

Apa yang lebih menarik lagi, Konami eFootball telah memperkenalkan kad status EPIC khas untuk legenda bola sepak Malaysia, Safee Sali, bagi meraikan sumbangan ikoniknya kepada sukan ini. Kad status EPIC, sebahagian daripada siri Harimau Malaya Stars, menonjolkan legasi beliau yang berkekalan dan menunjukkan komitmen kerjasama ini terhadap penghormatan terhadap kecemerlangan bola sepak Malaysia.

Dengan kerjasama ini, Konami dan FAM berhasrat untuk memberi inspirasi kepada generasi peminat dan pemain bola sepak yang seterusnya, meraikan tradisi bola sepak Malaysia yang kaya sambil memperkenalkan cara baharu untuk berhubung dengan permainan ini.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment