
Oleh : SUBKHI SUDARJI
SABAH FC dijangka akan terus mempertaruhkan penyerang import baharu dari Brazil, Neto Pesoa selaku penggempur bagi merobek gawang Petaling Jaya City FC pada aksi kedua Liga Super 2022 di Stadium Likas Kota Kinabalu, Rabu ini.
Walaupun Pesoa memulakan aksi sulung dengan keputusan mengecewakan apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Negeri Sembilan, Jumaat lalu khidmatnya pastinya ditagih.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, Pesoa perlu diberi peluang untuk menunjukkan kehebatan sebagai penjaring.
“Saya tahu ramai yang kecewa terutama sepakan penalti Neto yang gagal disudahkan dengan gol tetapi kita perlu beri dia peluang dalam dua atau tiga perlawanan untuk membuktikan kemampuannya.
“Saya percaya beliau mampu menjadi penjaring untuk pasukan kita,” katanya.
Tambahnya lagi, Sabah FC perlu meraih mata pada aksi kedua ditempat sendiri untuk terus bersaing dalam kejohanan.
Pada aksi melayan kunjungan Negeri Sembilan FC, Jumaat lalu, Sang Badak jelas memperlihatkan penguasaan permainan selain beberapa gerakan menarik namun ketangkasan penjaga gawang, Ahmad Syihan dan beteng The Jang mengecewakan pasukan tuan tumah dengan kekalahan tipis 0-1.





Add Comment