
PASUKAN futsal Selangor MAC mengesahkan trofi juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2022 milik mereka selepas menang 1-0 ke atas Shah Alam City pada Ahad.
Biarpun masih berbaki satu perlawanan bertemu Pahang Rangers 13 Mac ini, bayangan trofi juara sudah pun di tangan Selangor MAC.
Pada aksi Sirkit ke-8 ini, Selangor MAC diberi tentangan sengit sebelum Matheus Vasconcelos Silva memecah kebuntuan gol dengan jaringan tunggal pada minit ke-16.
Kemenangan tersebut sekaligus mengukuhkan kedudukan dengan mengumpul 36 mata selepas 13 perlawanan.

Malah Selangor MAC berjaya meninggalkan pencabar terdekat Pahang Rangers yang menduduki tangga kedua (32 mata) dalam carta 15 pasukan.
Dengan rekod satu kekalahan dan 12 menang Selangor MAC bakal dirasmikan sebagai juara selepas perlawanan terakhir minggu depan.
Turut hadir pada perlawanan tersebut adalah Exco FAM Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, ACP (B) Md Dali Wahid serta ketua jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong.





Add Comment