
JAGUH badminton perseorangan negara Lee Zii Jia mudah menewaskan wakil Singapura Loh Kean Yew pada aksi Kejohanan Badmintton Berpasukan Asia (BATC) pada Rabu.
Pada perlawanan di Pusat Konvensyen Setia City ini menyaksikan Zii Jia,24 mudah meraih kemenangan 21-6, 21-14 ke atas juara dunia 2021 itu dengan hanya mengambil masa 30 minit.
“Saya cuba untuk beri fokus, lebih tenang dan tidak menggunakan emosi sewaktu bermain macam tahun lepas. Saya rasa seluruh rakyat Malaysia juga menantikan perlawanan hari ini dan saya gembira apabila menang.
“Sasaran tahun ini adalah untuk menstabilkan prestasi saya, perlawanan ini mungkin satu daripada cara untuk stabilkan emosi, saya cubalah apa-apa cara yang boleh,” katanya selepas perlawanan.
Mengenai perlawanan seterusnya bertemu Kazakhstan esok (Khamis), Zii Jia memberitahu ianya terpulang kepada jurulatih untuk memutuskan sama ada akan menurunkannya atau memberi peluang kepada pemain muda, namun dia sentiasa bersedia untuk bermain bila-bila masa.
Pada aksi hari ini pasukan lelaki negara berjaya mencatat kemenangan bersih 5-0 ke atas Singapura.
Selain itu, aksi pasukan wanita juga cemerlang apabila mencatat kemenangan ke atas India dengan keputusan 3-2 sekaligus kini menduduki tangga teratas Kumpulan Y selepas turut menang 3-2 bertemu Jepun pada Selasa.





Add Comment