Badminton

ACPLJ: Saingan sengit 12 pasukan rebut kejuaraan hujung minggu ini


Kajang United BC antara yang menjadi pilihan di pusingan akhir selepas tampil garang pada saingan pusingan ketiga di Cheras dengan membelasah Jinjang BC 15-1 dan Sentul BC 15-0 sekaligus muncul juara kumpulan.

TEKANAN semakin dirasai oleh 12 pasukan menjelang pusingan akhir AEON Credit Purple League Junior 2021/2022 (ACPLJ) yang akan berlangsung hujung minggu ini di House of Champions, Gem In Mall, Cyberjaya.

Sebanyak 12 pasukan terbaik yang telah berjaya mengesahkan slot mereka di pusingan akhir selepas mengharungi pusingan kelayakan di tiga lokasi iaitu, Melaka, Kampar dan Cheras akan berentap dalam format kalah mati dengan 4 pasukan berdepan laluan mudah apabila mara ke suku akhir secara automatik hasil undian yang telah dijalankan hujung Januari lalu.

Antara pasukan pilihan ialah Kajang United BC (KUBC) yang mendapat kelebihan selepas undian memihak kepada mereka.

KUBC akan menanti pemenang di antara Ampang Jaya BC (AJBC) atau Rawang BC (RBC). KUBC sebelum ini tampil garang pada saingan pusingan ketiga di Cheras apabila membelasah Jinjang BC 15-1 dan Sentul BC 15-0 sekaligus muncul juara kumpulan.

Bagaimanapun, pengurus pasukan mereka Wong Heng Wai enggan mendabik dada selain mengakui mereka perlu menghormati kekuatan pasukan lain memandangkan saingan kali ini membabitkan 12 pasukan terbaik di pusingan akhir.

“Saya tidak mahu terlalu yakin memandangkan kami belum lagi berdepan cabaran sebenar dan lawan yang kuat.

“Kami juga menghormati semua pasukan kerana mereka telah beraksi dengan konsisten dan berupaya untuk mencabar kejuaraan. Tetapi, kami telah bersedia untuk meraih kejuaraan edisi kali ini,” ujar Heng Wai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Purple League Ho Khek Mong berkata, pasukan yang mengambil bahagian pada edisi kali ini telah mempamerkan konsistensi mereka di dalam gelanggang.

“Ada beberapa pasukan yang sangat konsisten lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai pemain muda yang sangat berbakat dan berpotensi. Saya tidak sabar untuk menyaksikan pasukan-pasukan terbaik berentap di pusingan akhir minggu ini.”

Pusingan akhir minggu ini akan dijalankan secara format kalah mati dengan 12 pasukan terbaik kedua-dua kategori bawah-18 dan 15 tahun akan berentap merebut kejuaraan. Juara bagi kategori bawah-18 tahun akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 manakala RM5,000 bagi juara kategori bawah-15 tahun.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: