
Oleh: JJFIRDAUS
KELAB Armed Forces dan Kuala Lumpur Rovers FC bermula garang dalam aksi pembukaan Liga M3 apabila mencatat kemenangan selesa keatas lawan masing-masing untuk menduduki tangga teratas kumpulan.
Armed Forces menundukkan Sains FC 3-0 di Stadium Mindef untuk aksi Kumpulan A manakala di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, KL Rovers mudah membenam Kijang Rangers dengan jaringan 4-0.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, pendatang baharu Liga M3, FC Langkawi membuat kejutan apabila berjaya mengikat Tun Razak FC, 1-1 dalam aksi di UM Arena.
Meskipun dibarisi bekas pemain kebangsaan, skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris terpaksa bekerja keras sebelum terpaksa berpuas hati dengan satu mata berhadapan pasukan yang dibarisi kesemua anak jati Langkawi itu.

Sementara itu dalam aksi di Stadium UPM, skuad bimbingan Azman Adnan, Ultimate FC pula mendapat tiga mata penuh selepas menumpaskan Kinabalu Jaguars 1-0.
Dalam pertemuan di Stadium MP Manjung, tuan rumah, Manjung FC menewaskan Imigresen FC 3-1 untuk mengekori rapat pendahulu pusingan pertama, Armed Forces FC.
Kumpulan B pula menyaksikan PIB FC membuktikan mereka sebagai pasukan pilihan apabila menundukkan Tok Janggut Warriors FC 3-1 manakala BRM FC berjaya mengutip mata penuh di gelanggang lawan dengan kemenangan 2-0 ke atas Respect FC.
Di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang, Bukit Tambun FC diikat Harini KS FC 1-1 dan Real Chukai FC gagal mengutip mata penuh di Stadium Mak Chili apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Perlis United FC.
Pengerusi AFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi Presiden MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan, Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar serta beberapa exco FAM turut hadir memberikan sokongan pada perlawanan KL Rovers dan Kijang Rangers di Cheras.






Add Comment