Bola Sepak

Piala AFF Suzuki 2020 : Harimau Malaya gagal dapatkan khidmat Cools


Cools (kanan) hanya akan bersama Harimau Malaya pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PERTAHANAN Harimau Malaya yang berpangkalan di luar negara, Dion Cools hanya akan memperkuatkan pasukan pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020 menentang Indonesia pada 19 Disember nanti.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, keputusan ini berikutan pemain berkenaan  masih terikat dengan beberapa perlawanan bersama pasukan.

“Kita tidak dapat menggunakan khidmatnya dalam masa terdekat kerana dia masih terbabit dengan beberapa aksi bersama pasukannya ketika ini dan kemungkinan hanya akan membantu pasukan selepas aksi menentang Vietnam (12 Disember).

“Saya sentiasa berkomunikasi dengannya dan pada masa sama dia (Cools) memberikan kata-kata semangat pada rakan sepasukan serta yakin dengan kemampuan skuad pada kejohanan kali ini,” katanya pada sidang media secara maya, sebentar tadi.

Difahamkan, saingan Liga Super Denmark akan berehat selama dua bulan dengan aksi terakhir berlangsung pada 30 November lalu.

Namun, kelab yang diwakili Cools iaitu Midtjylland masih lagi perlu mengharungi saingan Liga Europa yang menyaksikan perlawanan terakhir peringkat kumpulan dilangsungkan pada 10 Disember selain aksi suku akhir Piala Denmark pada 13 Disember.

Mengikut rekod, kejuaraan Piala AFF 2020 dijadual berlangsung dari 5 Dis hingga 1 Jan tahun depan dengan Malaysia selaku naib juara edisi 2018, diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Malaysia yang menyasarkan mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut, akan memulakan kempen kejuaraan berdepan Kemboja, diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada 19 Disember dalam usaha muncul dua pasukan terbaik untuk layak ke separuh akhir.


Add Comment

Click here to post a comment