
Oleh : SUBKHI SUDARJI
KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe yakin dengan kemampuan dan kematangan yang ada pada Guilherme De Paula bagi mengetuai jentera serangan pada aksi pembukaan Kumpulan B saingan Piala AFF 2020 berdepan Kemboja di Stadium Bishan, Singapura, esok.
Telah matang menyerap pelbagai tekanan didalam mahupun luar padang, Cheng Hoe terus menagih impak pemain naturalisasi itu untuk memastikan tiga mata penuh diraih.
“Kita lihat dalam latihan De Paula bersungguh-sungguh dan memiliki keyakinan tinggi. Kita harap dia boleh beri sesuatu atau menjaringkan gol dan memberi impak yang terbaik untuk pasukan.
“Tapi bukan sahaja De Paula, keseluruhan pemain yang diturunkan juga diharap dapat memberi persembahan yang terbaik,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, sebentar tadi.
Untuk rekod, De Paula menemui gawang gol hanya menerusi sepakan penalti ketika Harimau Malaya tewas 1-2 di tangan Vietnam dalam kempen kelayakan Piala Dunia, Jun lalu selain meledak satu gol dalam perlawanan latihan menentang Kuwait yang mana skuad negara tumpas 1-4.
Add Comment