
Oleh: AMMAR HAZIQ
PEMAIN sayap lincah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Muhammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin sah masih bersama pasukan tersebut pada musim hadapan sekaligus menafikan khabar angin dirinya akan berhijrah ke Lembah Klang.
KDA FC mengumumkan perkara tersebut melalui Facebook mereka pada Khamis kerana pemain muda tersebut ternyata masih berada dalam perancangan pasukan kejurulatihannya bagi musim 2022.
Bermulanya kerjaya Fayadh dari pasukan Majlis Daerah Kubang Pasu dalam saingan Piala Menteri Besar Kedah 2017, muncul sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan membantu pasukannya muncul Juara kejohanan tersebut, kini telah menjadi batu loncatan untuk Fayadh mendapat panggilan ke skuad kebangsaan ketika ini.

“Bakatnya mula diasah selepas beberapa musim bersama pasukan Piala Presiden Kedah pada musim 2018 sebelum diserap masuk ke skuad Liga Super Kedah pada musim 2019 seterusnya mendapat perhatian skuad utama selepas mempamerkan kelincahan dalam beberapa perlawanan penting sebagai pemain gantian.
Setakat ini dia telah berjaya menyumbang enam gol buat pasukan Kedah dan walaupun beraksi sebagai ‘Super Sub’, sumbangannya cukup besar dalam mengucar-kacirkan pertahanan lawan dalam membuat hantaran kepada rakan sepasukan seterusnya turut menjaringkan gol,” tulisnya.
Sebelum ini tersebar khabar angin bahawa Fayadh turut dipancing sebuah kelab dari Lembah Klang dan difahamkan pasukan berkenaan sanggup menebus kontrak selama lima tahun yang diikat oleh KDA FC sejak 2019.





Add Comment