Antarabangsa Bola Sepak Terkini

Cheng Hoe belum berpuas hati aksi pasukan, “Sudah tahu pemain mana boleh galas barisan utama”


Oleh: SURYATI MOHD NOR

KETUA jurulatih negara, Tan Cheng Hoe sudah dapat bayangan menyenaraikan pemain-pemain dalam barisan utama skuad Harimau Malaya selepas perlawanan latihan bertemu Kuwait awal pada Ahad malam.

Jelas Cheng Hoe, terdapat perbezaan di antara separuh masa pertama dan kedua perlawanan yang menyaksikan skuad negara tewas 1-4 kepada Kuwait.

“Ada ‘gap’ besar di antara separuh masa pertama dan kedua. Di situ kita boleh tahu pemain-pemain mana yang boleh menggalas dalam barisan utama.

“Kita masih ada masa lagi untuk perbaiki segala kelemahan dan meningkatkan lagi kekuatan pasukan,” ujarnya dalam satu rakaman video selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Cheng Hoe,52, mengakui secara keseluruhan barisan kejurulatihan masih tidak berpuas hati dengan cara permainanan pada perlawanan tersebut.

“Kami tahu keputusan itu mengganggu moral pemain-pemain dan saya tahu mereka juga rasa kecewa.

“Tetapi apa yang penting kita ada satu lagi perlawanan latihan terakhir bertemu Bahrain (28 Mei) dan kita akan cuba perbaiki segala kelemahan.

“Apa yang penting kita bangkit daripada kekalahan dan ingin melihat ‘team work’ dan ‘team spirit’ kembali dalam pasukan,” tambahnya.

Pada aksi tersebut, skuad Harimau Malaya mendapat gol tunggal menerusi jaringan Guilherme de Paula pada separuh masa pertama selepas tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-21.

Bagaimana pun pada babak kedua Cheng Hoe menukar semua pemain barisan utama yang menyaksikan skuad negara gagal menepis serangan Kuwait sekaligus tiga gol bolos di tangan lawan.

Skuad negara gagal mendapat sebarang gol pada separuh masa kedua tersebut.

Pasukan negara bakal diuji dengan perlawanan sebenar pada aski Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula 3 Jun ini dengan bertemu UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand pada 15 Jun ini.


Add Comment

Click here to post a comment