
Oleh : Subkhi Sudarji
BEKAS pemain tengah skuad Harimau Muda yang kini bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), Gary Steven Robbat sah menyarung jersi Melaka United FC pada penampilan semula dalam saingan Liga Super 2021.
Kelibat pemain yang pernah berlatih bersama kelab Bundesliga, Borussia Dortmund itu jarang dilihat sejak beberapa musim kebelakangan ini kerana bergelut dengan masalah kecederaan selain lebih banyak beraksi bersama JDT II selepas pulih dari kecederaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC), Datuk Seri Justin Lim berkata kepada CAKAPSUKAN, pemain tengah berusia 28 tahun itu yang beraksi diposisi tengah akan memperkuatkan pasukan pada jendela perpindahan kedua ketika ini.
“Segala-galanya (perbincangan) berjalan lancar, secara lisan kedua-dua pihak (MUFC dan JDT) telah bersetuju mengenai perpindahan pemain ini (Gary) secara pinjaman dari JDT.
“Kami akan maklumkan berita gembira ini bersama dua lagi pemain import dari Brazil yang dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan mengharungi saingan pusingan kedua Liga Super 2021 dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Justin Lim yang juga merupakan CEO syarikat pengeluaran sarung tangan iaitu KenTeam yang turut memiliki sejumlah saham syarikat MUFC mempunyai misi dalam membawa bolasepak Melaka ke tahap lebih baik pada masa hadapan.
“MUFC akan kembali memberikan saingan apabila Liga Super kembali bersambung Julai nanti.
“Dua pemain import dari Brazil yang dibawa masuk ketika ini sudah berada di Malaysia dan kini sedang menjalani tempoh kuarantin dan akan diperkenalkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.
“Kita mensasarkan untuk terus kekal dalam saingan Liga Super 2022, Zainal Abidin Hassan kita kekalkan untuk terus membimbing pasukan mencapai sasaran tersebut,” jelasnya yang mengambil alih peranan selaku CEO baharu MUFC selepas Datuk Saiful Mat Sapri meletak jawatan berkenaan berkuatkuasa semalam.
Untuk rekod, selepas berakhirnya 13 perlawanan, MUFC berada dikelompok zon penyingkiran apabila hanya mampu meraih 11 mata hasil tiga kemenangan, lima seri dan lima tewas untuk berada dikedudukan kedua tercorot liga.





Add Comment