Bola Sepak Terkini

Bekas pemain Real Zaragoza sertai Selangor FC


PEMAIN tengah Switzerland, Oliver Buff diumumkan secara rasmi sebagai pemain import terbaru Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2021.

Berasal dari Baden, Switzerland, pemain ini pernah membarisi skuad remaja negara kelahirannya bersama pasukan B-15 sehingga B21 tahun dan beraksi dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk beraksi di temasya Sukan Olimpik 2012 di London. Beliau juga pernah menjulang kejuaraan Piala Dunia B-17 bersama negaranya pada tahun 2009.

Mesra dengan panggilan Oli, beliau juga pernah menyarung jersi pasukan remaja FC Zürich di Switzerland dari tahun 2007 dan berjaya melakukan debut untuk pasukan utama kelab gergasi negara tersebut pada pertengahan tahun 2010.

Beliau merupakan salah seorang tonggak utama pasukan FC Zürich sewaktu membantu kelab itu menjulang Piala Swiss untuk dua musim berturut-turut pada musim 2013-2014 dan 2015-2016. Menurut data transfermarkt.com, pemain ini telah membuat sebanyak 217 penampilan dan menjaringkan 28 gol serta 31 bantuan gol untuk kelab tersebut.

Melakukan sebanyak 41 penampilan sepanjang dua tahun bersama kelab Real Zaragoza.

Pada tahun 2017, Oliver telah berhijrah ke Sepanyol untuk bersama pasukan divisyen 2, Real Zaragoza dan melakukan sebanyak 41 penampilan sepanjang dua tahun bersama kelab tersebut.

Pemain serba boleh ini terus melebarkan sayapnya dengan menyertai kelab Anorthosis Famagusta yang merupakan pasukan divisyen satu Cyprus sebelum kembali ke Switzerland bersama kelab divisyen 2, Grasshopper Club Zurich untuk semusim.

Selangor FC merupakan kelab Asia pertama buat Oliver dan beliau merasakan ini peluang terbaik untuk mengembangkan karier bola sepaknya.

“Saya mendapat panggilan telefon dari ejen mengenai projek di Malaysia bersama Selangor FC dan saya juga sempat bercakap bersama ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel dan Pengarah Teknikal Red Giants, Michael Feichtenbeiner mengenai rancangan mereka.

“Dari minit pertama lagi saya benar-benar yakin bahawa saya ingin menjadi sebahagian dari keluarga Merah Kuning. Rancangan Selangor FC untuk kembali melakar kegemilangan membuatkan saya yakin bahawa ini akan menjadi tempat terbaik untuk saya mengembangkan karier bola sepak di negara yang indah ini,” jelas Oliver dipetik melalui siaran media dikeluarkan Selangor FC, sebentar tadi.

Oliver Buff merupakan pemain terbaru kelima yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Shahrel Fikri, Tim HeubachR. Dinesh dan  Nik Sharif sebelum ini.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment