Lain-Lain

Hormati keputusan Shalin


 

HORMATI keputusan Shalin Zulkifli, itulah kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Dato Sri Reezal Merican Naina Merican terhadap ratu tenpin boling negara yang mengumumkan persaraan dari skuad kebangsaan, Selasa lalu.

Ujar Reezal, sudah semestinya jauh di sudut hati, kita sentiasa berharap untuk melihat kelibat Shalin mempamerkan aksi beliau di arena boling negara.

“Sungguhpun begitu, keputusan beliau ini kita hormati dan terima sepenuhnya setelah 28 tahun beliau menyumbang bakti mengharumkan nama negara hingga ke persada antarabangsa dengan hampir 100 pingat diraihnya,” jelasnya.

Katanya, hasrat Shalin telah pun dimaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) kepadanya terlebih dahulu dan ternyata ia merupakan detik yang sukar kepada sukan negara.

“Dalam  hal ini saya telah meminta MSN meneruskan perbincangan dengan Shalin khusus tentang perancangan masa depannya. 

Katanya, Shahlin merupakan seorang atlet yang berjiwa besar serta banyak terlibat dalam beberapa program yang melibatkan sokongan kebajikan kepada atletatlet negara. 

Menurutnya lagi, antara sumbangan beliau termasuklah sebagai Pengerusi, Suruhanjaya Atlet Majlis Olimpik Malaysia di samping sumbangan beliau kepada KBS dan MSN dalam gerakan pembangunan wanita dalam sukan yang menunjukkan betapa besarnya jiwa sukan yang ada dalam diri beliau.

“Saya secara peribadi, mewakili KBS, para peminat sukan serta seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada Shalin atas segala sumbangan beliau kepada negara selama ini.

“Penghargaan juga ditujukan kepada keluarga, pihak pengurusan, jurulatih serta pasukan boling negara yang turut memberi sumbangan secara langsung mahupun tidak langsung dalam melahirkan seorang bintang dan jaguh sukan bernama Shalin,” ujarnya.

Shalin yang mencipta kerjaya cemerlang dengan mengumpul 74 pingat sepanjang penglibatannya selama 28 tahun di peringkat antarabangsa menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada ketua jurulatih kebangsaan Holloway Cheah, Selasa lepas.

Shalin mula bermain boling ketika berusia sembilan tahun dan pada 1991 beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Muda Harapan Selangor, Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali iaitu pada 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment