
SERAMAI 14 pasukan bagi setiap kategori (B-12, B-15 dan B-16) termasuk dari Sabah dan Sarawak telah menyertai kejohanan Liga Remaja Kebangsaan (LRK) 2026 yang berlangsung di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang.
LRK ialah pertandingan pembangunan akar umbi yang menghimpunkan pemain-pemain muda terbaik dari seluruh negara yang dianjurkan menerusi kerjasama erat di antara NFDP dan FAM.
LRK 2026 merupakan edisi sulung pertandingan yang membabitkan tiga kategori umur dipertandingkan iaitu Kategori B-12 yang menampilkan 12 pasukan, Kategori B-15 yang turut menampilkan 12 pasukan serta Kategori B-16 yang menampilkan 10 pasukan.
Kesemua perlawanan LRK 2026 berlangsung pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad yang mana ia telah pun bermula pada 6 & 7 Jun lalu (Minggu 1 – Hari Perlawanan 1 & 2) dan akan berakhir pada 7 & 8 November 2026 (Minggu 11 – Hari Perlawanan 21 & 22). Saingan kini memasuki Minggu 4 dengan Hari Perlawanan 7 & 8 pada 18 & 19 Julai 2026.

LRK 2026 merangkumi sejumlah 11 minggu pertandingan dengan 22 Hari Perlawanan bagi Kategori B-12 dan B-15 manakala 9 minggu pertandingan dengan 18 Hari Perlawanan bagi Kategori B-16.
Pasukan teratas B-12, B-15 dan B-16 akan dinobatkan sebagai juara LRK 2026 bagi kategori masing-masing.Kemuncak saingan musim 2026 ini akan diakhiri dengan Piala LRK 2026 yang akan berlangsung secara karnival selama 11 hari di AMD, Gambang bermula 28 November hingga 8 Disember 2026.
Piala LRK 2026 ini akan disertai oleh 14 pasukan bagi setiap kategori (B-12, B-15 dan B-16) termasuk dari Sabah dan Sarawak yang akan dibahagi kepada dua kumpulan iaitu 7 pasukan setiap kumpulan dan setiap pasukan akan beraksi 6 perlawanan.
Dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke separuh akhir & seterusnya ke aksi final.Secara keseluruhan, objektik utama penganjuran LRK ialah untuk menyediakan lebih banyak minit permainan berkualiti, mewujudkan laluan pembangunan pemain yang jelas, menyeragamkan standard pertandingan di seluruh negara, menjadi platform pencarian bakat untuk skuad kebangsaan serta membantu pembangunan jurulatih, pengadil dan pegawai pertandingan.
Penyertaan pasukan-pasukan dalam saingan LRK ini melibatkan pasukan dari persatuan bola sepak negeri, akademi bola sepak negeri serta program-program pembangunan yang memenuhi syarat pertandingan. Ia melibatkan ratusan pemain muda dari seluruh Malaysia.

Majlis Perasmian Liga Remaja Kebangsaan (LRK) 2026 telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang.
Ia turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Encik Mohd Soffian Hamzah; Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Hj Rahman dan Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee.






Add Comment