
PERJALANAN calon Presiden Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Ab Ghani Hassan dalam dunia bola sepak bukanlah bermula dari atas , sebaliknya telah melalui perjalanan panjang sejak beliau bergelar pemain.
Bekas pemain Sarawak era 80an, Abdul Jalil Ramli menyifatkan karakter Ab Ghani yang dikenali hari ini sebenarnya sudah terserlah sejak mereka sama-sama berjuang di atas padang selain turut disenangi ramai ketika masih bergelar pemain.
Menurut Jalil, pengalaman pernah beraksi bersama Ab Ghani ketika beliau bermain untuk Negeri Sembilan suatu ketika dahulu membolehkannya melihat sendiri keperibadian dan sikap yang dimiliki calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu.
Katanya, Ab Ghani bukan sahaja dikenali sebagai seorang yang mudah disenangi rakan-rakan sepasukan, malah turut memiliki disiplin tinggi serta semangat tidak mudah berputus asa.
“Semasa kami bersama-sama bermain walaupun berlainan pasukan dahulu, beliau memang seorang yang mempunyai karakter yang baik dan disenangi semua orang.
“Tak mudah juga nak lawan beliau di atas padang sebab beliau main sebagai penyerang, seorang yang berdisiplin dan satu perkara yang saya masih ingat tentang dirinya ialah semangatnya yang tidak mudah berputus asa, terutamanya ada ketika waktu itu pasukan beliau tengah jatuh dan nak bangkit balik,” katanya.

Jalil berkata, keperibadiaan Ab Ghani tidak kira baik di atas padang atau luar padang telah membentuk perjalanan beliau selepas meninggalkan dunia sebagai pemain untuk terus menabur bakti dalam dunia pentadbiran bola sepak.
Sudah tentu, beliau berasa berbesar hati apabila melihat perjalanan panjang bekas rakan seperjuangannya itu dalam dunia bola sepak dan pencalonan beliau sebagai Presiden FAM membuka satu lagi lembaran baharu selain pengalaman luas daripada pelbagai peringkat pastinya memberikan perspektif tersendiri kepada Ab Ghani untuk memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi industri ini.
“Sudah tentu saya berasa bangga dan berbesar hati melihat perjalanan beliau sebab bukan mudah untuk sampai ke tahap ini.
“Daripada seorang bekas pemain, kemudian beliau melalui perjalanan dalam dunia pentadbiran bola sepak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) sebelum menjadi Presiden MFL.

“Sekarang, beliau sebagai calon Presiden FAM dan bagi saya, ia satu perjalanan yang cukup membanggakan. Saya percaya dengan peribadi disiplin dan komitmen tingginya sebagai bekas pemain sebelum ini sedikit sebanyak membantunya menerajui organisasi bola sepak terbesar tanah air,” katanya.






Add Comment